mStar Online
Pemimpin-pemimpin parti pembangkang sedia mempertahankan hak mereka jika disaman oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Jelas mereka, Abdul Rashid mempunyai hak untuk berbuat demikian jika benar dakwaannya semalam bahawa beliau sering difitnah oleh pemimpin pembangkang sepanjang menerajui suruhanjaya itu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyambut baik hasrat Abdul Rashid itu kerana baginya tuduhan yang dilemparkan terhadap SPR selama ini mempunyai asas yang kukuh.
"Memang kita anggap beliau tak dapat jalankan tugas sebagai Pengerusi SPR dengan profesional dan adil.
"Beliau seringkali mengeluarkan kenyataan yang mempunyai unsur politik," katanya kepada mStar Online.
Tambah beliau sepanjang Abdul Rashid menerajui SPR, terdapat banyak kelemahan sewaktu mengendalikan pilihan raya hingga melahirkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
"Begitu banyak kelemahan SPR, hingga kita terpaksa menganjurkan perhimpunan BERSIH bagi menggesa SPR menjalankan proses pilihan raya dengan telus dan berkesan," katanya.
Menurut ahli Parlimen Batu itu, Abdul Rashid mempunyai hak untuk mengemukakan saman kepada sesiapa sahaja dan baginya, beliau sentiasa bersedia menghadapi apa jua tuduhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.