Halaman

Jumaat, 20 Februari 2009

Faktor ekonomi mungkin ada kaitan kejatuhan Elizabeth

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar A Samad berpandangan penyebaran gambar dan video separuh bogel Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping bukan saja bermotif politik tetapi juga ekonomi.

Ini kerana katanya, sebelum menjadi wakil rakyat Elizabeth terkenal sebagai seorang aktivis alam sekitar dan tegas dalam usaha untuk melindungi alam semula jadi.

Beliau yakin dalam penyebaran gambar dan video separuh bogel Elizabeth itu ada kaitan dengan ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang berurusan dengan beliau disebabkan ketegasannya.

"Mereka boleh jadi pemaju yang tidak boleh melakukan sebarang pembangunan di cerun kelas tiga dan empat kerana polisi kerajaan negeri yang menghalang pembinaan atau pemilik kilang yang pernah diambil tindakan kerana mencemar alam sekitar," kata beliau.

Jika perkara itu benar beliau bimbang kerana exco-exco lain yang tidak memihak kepada pihak tertentu mungkin akan turut menjadi mangsa.

"Hari ini foto-foto Elizabeth esok mungkin foto-foto exco lain yang akan terperangkap. Bukan susah untuk memerangkap atau memfitnah seseorang," katanya.

Menurut beliau, Elizabeth lantang memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, beliau pernah bersungguh-sungguh mempertahankan hak sebuah sekolah agama di Lembah Jaya, Ampang ke atas tanah mereka yang telah diberikan kepada sebuah syarikat pemaju.

Sebelum ini kata beliau, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali difitnah, konononya ditangkap khalwat sedangkan tarikh difitnah itu beliau berada pada satu majlis rasmi.

Banyak pihak mahu Elizabeth dikenakan tindakan jika terdapat sebarang salah laku tetapi trauma yang beliau lalui sejak penyebaran gambar itu mungkin sudah memadai sebagai satu hukuman, tegasnya.

"Kerajaan Selangor mungkin akan kehilangan seorang exco yang berwibawa, tegas, prihatin dan adil," kata beliau. - lanh _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.