Oleh Maiamalina Mohamed Amin
KUALA LUMPUR: Sudahlah pemakaian topi keledar yang betul tidak diberi perhatian sewajarnya, pengedar dan penjual kelengkapan keselamatan itu pula masih dengan pendirian mahu memasarkan topi yang tiada kelulusan Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
Tindakan itu bukan hanya menyokong sikap segelintir penunggang motosikal yang enggan menggunakan topi keledar berciri keselamatan tinggi, tetapi mendedahkan golongan berkenaan kepada risiko parah di kepala ketika kemalangan.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata peratusan kecil pengedar dan pemilik bengkel motosikal menjual topi keledar disahkan Sirim menunjukkan keangkuhan peniaga terbabit yang tidak mahu menyokong kempen advokasi keselamatan jalan raya.
“Mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) hanya 25 peratus saja pengedar yang menjual sepenuhnya topi keledar Sirim, manakala selebihnya masih memasarkan barangan yang tiada piawaian keselamatan.
“Topi keledar alat keselamatan penting bagi penunggang motosikal kerana kebanyakan mereka yang terbabit kemalangan mengalami kecederaan parah di kepala dan sebab itu kami sangat menekankan pemakaian topi keledar yang betul.
“Menerusi kempen sebelum ini banyak tumpuan diberi terhadap perkara ini, malah sampai sekarang 98,000 topi keledar diedar sama ada secara percuma mahupun ganti,” katanya pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Jalan Duta di sini semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.