UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Pengeluar Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak akan mengaut keuntungan daripada pengurangan harga gas yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengeluar Penjana Bebas di Malaysia (Penjanabebas), Philip Tan berkata, subsidi yang diperolehi itu hanya akan dimanfaatkan oleh pengguna dalam bentuk penurunan kadar tarif elektrik.
Ini dapat dilihat melalui penurunan tarif elektrik pada purata 3.7 peratus kepada 31.3 sen sekilowat jam (kWj) daripada 32.5 sen kWj mulai 1 Mac ini yang mana pengguna domestik akan mengalami penurunan secara purata sebanyak 2.54 peratus manakala pengguna komersial 2.7 peratus dan industri 5 peratus.
Menurutnya, di bawah model IPP, semua kos bahan bakar yang berkaitan dengan janakuasa akan ditanggung sepenuhnya oleh TNB.
''Oleh itu, syarikat utiliti negara itu akan membuat pengiraan terhadap kos komponen bahan bakar daripada penjanaan tenaga elektrik dan melaluinya ia akan membuat perubahan dalam kiraan kadar tarif yang akan dikenakan kepada penggunanya, seperti mana yang telah dilaksanakan melalui pengurangan kadar tarif elektrik baru-baru ini,'' katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu bagi mengulas dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa ahli Penjanabebas akan memperolehi keuntungan sebanyak RM35.7 bilion melalui subsidi gas.
Menurutnya, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan ia bercanggah daripada situasi sebenar.
Pada 11 Februari lalu, kerajaan telah mengurangkan harga gas bagi sektor elektrik dan bukan elektrik di Semenanjung sebanyak 32 peratus hingga 35 peratus mulai 1 Mac ini.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berkata, pengurangan harga gas sebanyak RM7.06 hingga RM8.53 itu dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan industri-industri berkenaan, khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.
Selain itu, Tan berkata, mekanisme menyerahkan tanggungan harga bahan bakar kepada TNB adalah perkara yang normal dalam bidang ini.
''Bagaimanapun, persatuan menghargai pandangan Guan Eng yang bimbang dengan penurunan harga gas baru-baru ini dan ia dijangka boleh memberi kesan kepada kemasukan pelaburan di dalam negeri.
''Sebarang keputusan yang berkaitan dengan peruntukan dan harga gas adalah di luar bidang kuasa kami,'' tegasnya.
Menurut beliau, kebimbangan ini telah diambil kira oleh kerajaan yang bersetuju supaya bekalan gas tambahan sebanyak 100 mmscfd (kaki padu standard sehari) diberikan kepada sektor industri dan sektor elektrik dalam usaha menggerakkan sektor tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan