ROSLAN SMS
Usaha mengagalkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang ia kuasai semakin rancak kebelakangan ini. Setelah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak di”curi” haknya melalui “politik pintu belakang”, kita mendengar perkhabaran bahawa usaha juga sedang diambil untuk melakukan yang sama di Kedah.
Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa terdapat usaha untuk membeli ADUN PKR di Kedah yang diketuai sendiri oleh pimpinan tertinggi Umno negeri. Mungkinkah Kedah kecundang selepas Perak? Kedah kini dikuasai Pakatan Rakyat dengan nisbah 22:14. Kiranya 5 “ekor” dapat dibeli seperti di Perak, Kedah juga tercabar! (Namun insyallah ianya sedang dikawal rapi oleh kepimpinan MB di sana).
Dalam pada itu dada-dada akhbar media perdana hari ini memaparkan pula kisah MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Menurut kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa MB Selangor itu atas pertuduhan salah guna kuasa. Kertas siasatan menurutnya telah diajukan ke Pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan pendakwaan.
Aneh kerja pendakwaan kerja Peguam Negara, tetapi kenyataan SPRM seolah mendahului kerja itu dengan seolah memberi persepsi yang MB Selangor itu sudah berada dalam kandang orang salah.
Saya secara peribadi yakin dan percaya Tan Sri Khalid yang saya kenali itu akan bebas dari dakwaan yang sengaja diada-adakan itu. Jika ini sebahagian dari rangkaian kerja kotor untuk memporak-perandakan keutuhan kerajaan PR di Selangor, setelah berjaya dilakukan perkara yang sama di Perak, ternyata ia sangat hodoh dan akan terus ditentang rakyat.
Kerajaan PR di Selangor yang didukungi PAS telah berjaya dalam tempoh masa 11 bulan ini mempamirkan satu corak kepimpinan berdasarkan falsafah bersih, maju dan berkebajikan. Ia terbukti berbeza dan jauh lari dari “style” dan amalan kerajaan BN negeri dahulu. Perbezaan inilah akan mengakibatkan rakyat terus menerimanya dan ia sendiri akan kekal dihati rakyat sampai bia-bila. Inilah yang menghantui BN, bukan hanya di Selangor lebih-lebih lagi di Kelantan, termasuk Pulau Pinang dan Kedah.
Oleh itu seluruh saf kepimpinan PR perlulah berwaspada dan berhati-hati dalam melaksanakan amanah harian masing-masing. Dalang-dalang durjana ini sedang mengekori dan menjejaki kita. Kita akan berjaya menghantar mereka ke kancah kebinasaan kiranya kita terus kekal berada di atas landasan yang kita perjuangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan