BERITA HARIAN ONLINE
IPOH: Selepas menggantung tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat kini cuba memohon perkenan Sultan Perak untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin bagi membuktikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih sah sebagai Menteri Besar.
Surat permohonan untuk mengadakan sidang khas DUN itu dihantar oleh Speaker DUN, V Sivakumar, kepada Sultan Azlan Shah, minggu lalu.
Mohammad Nizar berkata, sidang khas itu bertujuan membolehkan Adun BN atau Pakatan Rakyat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap dirinya sendiri.
“Usul tidak percaya pada pada sidang khas itu dapat menentukan siapa yang mendapat undi majoriti. Itu yang ada dalam peraturan... perkiraan sama ada Menteri Besar ini mendapat sokongan majoriti atau tidak,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar di sini, pagi semalam.
Mohammad Nizar mendakwa Pakatan Rakyat kini menguasai majoriti dalam DUN dengan 28 Adun, berbanding 21 BN berikutan penggantungan Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya, manakala tiga Adun dari Pakatan Rakyat yang keluar parti masing-masing pula didakwa sudah meletak jawatan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada sidang akhbarnya beberapa jam selepas itu menjelaskan Pakatan Rakyat sebenarnya mahu membawa usul undi percaya terhadap kepemimpinan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.
Katanya, usul berkenaan sekali gus menafikan BN mempunyai majoriti dalam DUN dan menjadikan Zambry tidak lagi mempunyai mandat.
Terdahulu, Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perak, mengakui akan berlaku kekecohan pada permulaan sidang khas itu kerana tujuh Adun BN yang digantung dan tiga Adun dari Pakatan Rakyat yang didakwa sudah meletak jawatan, juga dijangka hadir.
“Saya jangka ada sedikit kekacauan terutama ketika permulaan sidang sebab tiga katak sudah digantung dan tujuh lagi Adun juga digantung.
“Sekarang Pakatan Rakyat mempunyai 28 Adun dan BN 21. Kami mempunyai majoriti sekarang. Itu yang mereka bimbang,” katanya.
Rabu lalu, Sivakumar membuat keputusan mengejutkan dengan menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang DUN antara 12 hingga 18 bulan.
Bagaimanapun, Zambry menegaskan tindakan Sivakumar tidak sah dan beliau serta enam Exco berkenaan akan tetap menghadiri sidang DUN akan datang.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, mengikut perancangan tahun lalu, sidang DUN sepatutnya dilangsungkan April ini tetapi sidang khas berkenaan akan diadakan selepas 14 hari Speaker memberi notis kepada semua Adun.
“Speaker memerlukan sekurang-kurangnya 14 hari untuk mengeluarkan notis supaya DUN bersidang. Itu yang normal. Kalau ikut perancangan, setiap tahun ada tiga sidang tetapi Speaker memohon sidang khas, secepat mungkin... selepas tempoh 14 hari itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan