Muda Mohd Noor
Kerajaan Selangor tetap merancang mengadakan perayaan setahun pemerintahan walaupun negeri itu kini bergolak dengan kontroversi foto separuh bogel seorang exco wanitanya.
Sambutan ulang tahun pertama itu bukan untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat tetapi program tersebut untuk memperkenalkan dasar kerajaan negeri, kata setiausaha politik Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Kepada mana-mana kerajaan sekalipun, adalah normal mereka melancarkan program kerajaan.
“Kita hendak tunjuk kepada rakyat Selangor apa yang telah kita buat setelah setahun kita memerintah,” kata Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Beliau ditanya sama ada perayaan ulang tahun itu untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat susulan beberapa kontroversi yang melanda pentadbiran itu baru-baru ini, antaranya pengagihan lembu korban di parlimen Abdul Khalid di Bandar Tun Razak dan peletakan Elizabeth Wong ekoran tersebarnya foto intimnya.
Nik Nazmi, juga wakil rakyat Seri Setia, berkata sambutan ulang tahun kerajaan negeri bawah Pakatan itu akan bermula 8 Mac ini - genap setahun ia jatuh ke tangan gabungan pembangkang dalam pilihanraya umum lepas.
Aturcara program itu, antaranya, lawatan pemimpin kerajaan yang diketuai Abdul Khalid di setiap daerah di Selangor.
“Ia termasuk perjumpaan dengan kira-kira 4,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Shah Alam.
“Di setiap daerah yang dilawati oleh pimpinan kerajaan negeri akan diadakan karnival rakyat.
“Majlis kemuncak ialah tayangan video setahun kerajaan negeri di Stadium Malawati,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menanggung kos sambutan ulang tahun tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.