Saidah Hairan
SHAH ALAM - Jawatankuasa Tindakan Pemberhentian Pekerja di Selangor akan menyediakan perkhidmatan pendaftaran 'online' bagi pekerja yang telah diberhentikan untuk memudahkan kerajaan Selangor menyalurkan bantuan sesuai.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempengerusikan jawatankuasa itu telah mendapatkan perkhidmatan Syarikat Mesin Niaga sebagai 'technology provider' (pembekal teknologi) dengan menggunakan sistem perisian IBM dalam pengumpulan data dan maklumat pekerja.
Menurut beliau, perkhidmatan online ini akan melengkapkan perkhidmatan pendaftaran manual yang akan bermula di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi.
Jawatankuasa tersebut menyeru kepada pekerja yang diberhentikan untuk menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan oleh syarikat itu melalui htp://my.jobstreet.com/retrench-helpline/.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga telah mendengar taklimat anak syarikat Kerajaan Negeri, Pusat Pelaburan Kerajaan Selangor (SSIC-Selangor State Investment Centre) yang telah memaklumkan bahawa dalam bulan Januari 2009, seramai 451 pekerja telah menerima tawaran pemberhentian sukarela (voluntary separation scheme atau VSS) manakalan 2,205 telah diberhentikan buat sementara sehingga ekonomi pulih semula.
Bagaimanapun, pihak Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM-Federation of Manufacturers Malaysia) yang turut hadir telah memberi jaminan bahawa arahan bagi ahli-ahlinya adalah untuk mengutamakan pekerja tempatan.
FMM juga menerangkan potongan gaji juga telah dibuat kepada pekerja diperingkat eksekutif.
Jawatankuasa telah dimaklumkan oleh pihak Pihak Berkuasa Pelaburan Malaysia (Mida) bahawa terdapat dua politeknik di Selangor iaitu di Shah Alam dan Sabak Bernam yang berhasrat menyediakan khidmat latihan bagi mereka yang telah diberhentikan kerja.
Menurut Khalid, jawatankuasa turun menyarankan kepada kerajaan Pusat agar dapat dikurangkan jumlah kemasukan pekerja asing di Malaysia dan Selangor khususnya.
Ini kerana katanya, pengurangan kemasukan pekerja asing terutama dalam sektor elektronik, pembuatan dan perkhidmatan khusus memandangkan kurang permintaan di dalam sektor tersebut.
"Kita bukan minta kemasukan pekerja asing tidak dibenarkan langsung kerana ada sektor-sektor seperti sektor pembinaan masih memerlukan pekerja asing. Tapi pengurangan perlu dibuat dalam sektor yang kurang permintaan kerana apabila mereka diberhentikan, kerajaan akan terpaksa menjaga kebajikan mereka dan ini akan melibatkan kos," katanya.
Tindakan ini bukan sahaja boleh mengurangkan kos penyelenggaraan pekerja asing yang telah diberhentikan malah akan membuka lebih ruang serta peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Jawatankuasa telah mengarahkan SSIC untuk berhubung dengan semua syarikat swasta yang akan membuat pemberhentian pekerja bagi mengadakan mini karnival jawatan kosong dalam pelbagai bidang. - lanh _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan