UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas meminta pucuk kepimpinan parti menerima semula Datuk Ibrahim Ali sebagai ahli kerana beliau telah memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu dengan baik.
Ketuanya, Najib Rashdan Abdul Rahman turut menyifatkan Ibrahim sebagai pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan amat rapat dengan penduduk di Pasir Mas.
Beliau berkata, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau dipilih oleh pengundi di Pasir Mas dan bukannya Pas.
"Banyak perubahan terutama pembangunan infrastruktur dibawa ke Pasir Mas sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen sejak dahulu lagi.
''Beliau amat rapat dengan rakyat di sini cuma ada segelintir pemimpin peringkat atasan yang tidak suka dan berasa takut atau bimbang dengan keberaniannya memperjuangkan Melayu.
"Kami di Pasir Mas tidak ada masalah untuk menerimanya dan berharap kepimpinan parti boleh menerima beliau semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Perjumpaan Calon-Calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersama perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan di sini hari ini.
Majlis tersebut dihadiri seramai 10 calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO termasuk calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas untuk menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kecil.
Menteri Besar Kelantan itu yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar pilihan raya umum Mac tahun lalu, tanpa sokongan daripada anggota Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.