Halaman

Ahad, 8 Mac 2009

Aktiviti khas belia di Dataran Stadium setiap Jumaat, Sabtu

Rizal Tahir


KOTA BHARU - Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan menganjur aktiviti khusus untuk golongan belia di negeri ini pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Perlancongan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, antara program yang akan dianjurkan termasuk untuk persatuan bermotor.

"Program khas disusun bagi faedah golongan belia. Dan program lain yang sesuai sedang disusun dan dikenal pasti," katanya pada perasmian program Belia Cakna Palestin 'Derita Sama Dirasai' di Dataran Stadium Sultan Muhamad Ke-IV kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya sudut khas akan disediakan kepada persatuan bermotor bagi membolehkan mereka melaksanakan program lebih berfaedah dan mengelakkan terbabit dengan perlumbaan haram.

Takiyuddin berkata, penyertaan kelab-kelab bermotor pada program berkenaan, menunjukan bahawa remaja di negeri ini mempunyai sikap bertanggungjawab dan cakna kepada keperitan yang dialami umat Islam di Palestin.

Sebanyak 12 buah kelab motor berdaftar menyertai program berkenaan termasuk Super Power Club, Kelab Honda Klasik, Kelab Iswara Kelantan.

Selain itu Perdana Club Malaysia, iSaga Motorsport, KB4G, Kelab Produa Viva Kelantan, THR Gegar, Belia 4B Kubang Kerian, Kelab Rakan Pendengar dan Kelab Berkuda MPKB-BRI.

Katanya juga kawasan Dataran Stadium akan dibahagikan kepada beberapa sudut termasuk menyediakan pentas khas yang akan dijadikan sudut pidato bagi membolehkan belia meluahkan pendapat.

Pada program berkenaan wakil-wakil dari persatuan bermotor menyampaikan derma kepada Tabung Cakna Palestin.

Dan lebih menarik seorang ahli persatuan bermotor menjadi imam solat Asar, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan tetamu lain menjadi makmum. - mj_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.