SINAR HARIAN ONLINE
KUANTAN – Peneroka Felda di negara ini mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan Lembaga Minyak sawit Malaysia (MPOB), menyekat peneroka menjual buah tandan segar (BTS) dan bertindak melampau membuat potongan tidak munasabah hingga menjejaskan pendapatan mereka.
Justeru, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman semalam mewakili 25,000 anak peneroka yang tidak lagi berada di bawah pengurusan Felda membuat laporan polis mengenai ketidakpuasan berkenaan.
Menurutnya, peneroka terbabit enggan menyerahkan pengendalian kebun kelapa sawit mereka kepada Felda selepas selesai ‘bayaran kembali’ atau melangsaikan hutang dan tidak terikat dengan sebarang perjanjian baru termasuk perjanjian tanam semula.
“Peneroka mengambil keputusan menjual hasil sawit di kilang swasta bagi mengelakkan dikenakan pelbagai potongan wang yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata, Felda turut mengenakan tindakan ke atas MPOB supaya mengambil tindakan ke atas peneroka yang menjual BTS ke kilang swasta sehingga sanggup memanggil polis bagi menghalang peneroka terbabit.
Mazlan berkata, seramai 112,635 peneroka Felda seluruh negara dan daripada jumlah itu seramai 90,511 atau 80.36 peratus adalah peneroka yang menanam kelapa sawit membabitkan 270 Tanah Rancangan Felda.
Peneroka terbabit menghantar BTS ke 70 kilang sawit di seluruh negara.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Penasihat PKR, Datuk Fauzi abdul Rahman.
Beliau berkata, peneroka tidak berpuas hati dengan pengurusan Felda yang mengambil buah yang dikategorikan muda.
“Pengurusan Felda sepatutnya menyediakan tempat pelupusan buah muda namun perkara yang mencurigakan kemungkinan buah muda dicampurkan dengan buah masak,” katanya.
Selain itu, peneroka terbabit juga mendakwa keuntungan mereka dipotong sehingga 20 hingga 35 peratus daripada pendapatan mereka sedangkan mereka sudah tidak di bawah pengurusan Felda.
“Kita akan melakukan pertemuan bersama MPOB supaya membebaskan peneroka Felda bagi memberi kebebasan berurusan dengan kilang sawit swasta,” katanya.
Menurutnya, tindakan Felda mengenakan pelbagai tekanan kepada peneroka adalah satu penganiayaan yang membawa kesan buruk antara peneroka Felda.
“Ia bertentangan sama sekali dengan matlamat penubuhan Felda melahirkan masyarakat Melayu yang berdikari. Tindakan itu adalah satu ‘perlucutan kehidupan’ dan salah guna kuasa,” katanya.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengesahkan menerima laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan