Halaman

Jumaat, 6 Mac 2009

Hak kerajaan negeri tidak dihormati

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – “Air adalah hak rakyat, tidak kira sama ada mereka dari mana-mana parti termasuk UMNO, Barisan Nasional. Anda minum air yang sama.,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menasihatkan kerajaan Selangor agar tidak mempolitikkan rancangan Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula aset air di negeri itu.

Menurut Khalid, situasi yang berlaku itu menunjukkan hak kerajaan negeri tidak dihormati sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan.

“Kami rasa hak kerajaan negeri tidak dihormati sepenuhnya. Ia telah dipersetujui ketika membuat penstrukturan semula dan sepatutnya melalui kerajaan negeri.

“Hanya setelah Kerajaan Persekutuan dan kementerian mengubahnya, masalah ini terjadi. Kerajaan negeri sepatutnya didahulukan dan diberi hak utama untuk berbincang mengenai pengurusan air di Selangor,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tetap dengan pendirian rundingan bagi menyusun semula industri perkhidmatan air negeri harus dijalankan menerusi sebuah agensi negeri.

“Pada awalnya, kerajaan persekutuan telah memberikan hak kepada negeri mengepalai langkah penstrukturan semula air dan telah dipersetujui, berikutan itu kerajaan negeri Selangor melantik sebuah panel semakan air bagi mengendali analisis terperinci dan proses itu terus berjalan.

“Tapi sekarang, Kerajaan Persekutuan telah mengubah haluan dan kami terperangkap dalam situasi tidak menentu,” kata Abdul Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.

Semalam, Shaziman dilaporkan berkata, kerajaan Selangor tidak harus menggunakan isu air untuk faedah politik kerana ‘akhirnya, apa yang penting ialah membekalkan air yang murah kepada pengguna’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.