UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Bakal Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim mengakui lebih serasi bekerja dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
''Saya lebih serasi dengan Shahrizat," kata Kamilia, yang jawatan nombor duanya itu akan disahkan secara rasmi hujung bulan ini setelah menang tanpa bertanding.
Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita itu berkata demikian kepada Utusan Malaysia hari ini ketika ditanya sama ada beliau serasi dengan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz atau naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurut Kamilia, meskipun boleh menerima sesiapa sahaja sebagai ketua, beliau berasa dirinya lebih senang bekerja dengan Shahrizat dalam beberapa perkara.
''Sebagai seorang profesional dan ahli politik yang menegakkan perjuangan parti demi bangsa Melayu dan agama Islam, sesiapa pun yang menerajui Wanita UMNO, tiada masalah untuk saya bekerja dengan dia.
''Namun dalam beberapa perkara seperti perjuangan agama dan beberapa aspek lain, saya lebih cenderung untuk bekerja dengan Shahrizat," katanya.
Semalam, Rafidah menolak cadangan Shahrizat untuk dilantik sebagai penasihat pergerakan itu sekiranya kalah pada pemilihan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.
Rafidah berpendapat, fungsi jawatan tersebut tidak memberi kesan yang kuat kepada Wanita UMNO dan parti.
Sebaliknya Rafidah mahu diberi peluang oleh perwakilan untuk terus menerajui Wanita UMNO atau lebih baik beliau tidak diberikan langsung sebarang jawatan.
Mengulas pendirian Rafidah itu, Kamilia memberitahu, semua pihak harus menerima dan menghormati apa juga keputusan nanti.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, adalah sesuatu yang merugikan jika pengalaman serta pengetahuan Rafidah tidak dimanfaatkan sama ada untuk UMNO atau negara.
''Kalau dia (Rafidah) berhasrat untuk tidak mahu bergiat dalam parti nanti, segala pengalaman dia masih boleh disumbangkan di peringkat antarabangsa.
''Mungkin dia boleh mewakili negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.