Halaman

Selasa, 3 Mac 2009

Mahkamah tolak peguam Speaker, sidang tergempar lulus 2 usul

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI 10.50 PAGI]


IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan dua usul pada sidang tergemparnya pagi ini termasuk meminta pembubaran DUN manakala Mahkamah Tinggi di sini pula menolak pasukan peguam swasta dilantik Speaker, V. Sivakumar untuk mewakilinya.

Keputusan penolakan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Riduan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam Sivakumar, Tommy Thomas.

Kata beliau, mahkamah memutuskan bahawa di bawah peruntukan Akta Tatacara Kerajaan, Speaker hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri atau Jabatan Peguam Negara.

Dalam hal ini katanya, Speaker akan diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Dalam pada itu, sidang tergempar yang diadakan di kawasan lapang berdekatan bangunan SUK telah meluluskan dua usul.

Usul-usul tersebut adalah berkaitan Datuk Seri Mohamad Nizar Jalamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan memohon Sultan untuk membubarkan DUN.

Kedua-dua perkembangan ini berlaku serentak kira-kira pukul 10 hingga 10.30 pagi.

BERITA TERDAHULU

ADUN dihalang masuk DUN, Speaker dibenar

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pagi ini untuk menghadiri sidang tergempar DUN.

Polis yang mengawal pintu masuk bangunan SUK berkata: "YB tidak boleh masuk."

Penyokong Pakatan membuat kepungan rantai manusia bagi mengelakkan wakil rakyat mereka dihalau dari kawasan bangunan SUK.

Sivakumar yang dibenarkan masuk bagaimanapun tidak memasuki kawasan bangunan SUK dan DUN.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, Sivakumar yang lengkap sebagai Speaker memaklumkan kepada wakil rakyat yang hadir bahawa sidang tergempar akan diadakan di kawasan lapang kira-kira 200 meter dari bangunan SUK.

Dalam pada itu, di Mahkamah Tinggi Empat di sini, peguam kedua-dua pasukan yang mewakili Zambry dan Sivakumar baru sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selama kira-kira 20 minit.

BERITA TERDAHULU

Speaker DUN, MB Perak bergelut hari ini

IPOH: Krisis politik Perak menanti episod baru pagi ini dengan persoalan sama ada sidang tergempar yang dipanggil Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar akan diadakan.

Sidang tergempar dijadual pukul 10 pagi.

Dalam pada itu, kes saman yang difail petang semalam akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pukul 9 pagi.

Di sebalik menanti perkembangan ini Bangunan Perak Darul Ridzuan terus dikawal polis dan pasukan FRU pagi ini.

Kakitangan kelihatan masuk tetapi urusan temu janji tidak diadakan.

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi 4 mula dibanjiri peguam dan penyokong kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bagi mengikuti kes saman yang difail oleh Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri terhadap Sivakumar dan DUN.

Petang semalam, Zambry dan enam Exco memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Sementara itu, beberapa ADUN Pakatan Rakyat termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tiba di pekarangan DUN negeri kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beratus-ratus penyokong Pakatan turut mengiringi ADUN berkenaan.

Wakil-wakil rakyat berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan DUN tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.