HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Mac 2009

Majikan diminta batalkan hasrat bawa pekerja asing

BERNAMA


PUTRAJAYA: Majikan yang mendapat kelulusan menggaji pekerja asing tetapi belum lagi membawa mereka masuk ke dalam negara, hari ini diminta supaya membatalkan hasrat itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah amat tidak wajar bagi pekerja asing dibawa masuk untuk bekerja dalam negara.

Beliau berkata, majikan sebaliknya perlu memberi peluang pekerjaan yang ada kepada ribuan pekerja Malaysia yang diberhentikan kerja.

"Saya suka menyeru majikan tersebut supaya menghubungi Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan mereka dibantu untuk mendapatkan calon pekerja tempatan, terutama dari kalangan pekerja yang diberhentikan kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai susulan kepada pengumuman Kementerian Dalam Negeri, hari ini, bahawa semua visa kemasukan pekerja asing dari Bangladesh yang diluluskan pada 2007 dan pekerja berkenaan masih belum memasuki Malaysia, dibatalkan serta merta.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, terhadap keputusan itu, Dr Subramaniam berkata, Kementerian Sumber Manusia sememangnya prihatin tentang kebimbangan pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung kemasukan pekerja asing ke dalam negara.

MTUC semalam meminta kerajaan supaya menarik balik visa yang dikeluarkan kepada pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di sini tidak lama lagi berikutan laporan Bernama yang memetik Atase Buruh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Talat Mahmud Khan, Ahad lalu, berkaitan perkara itu.

"Kementerian Sumber Manusia mendapat maklumat bahawa pekerja Bangladesh itu adalah golongan pekerja asing yang diluluskan visa untuk bekerja dengan syarikat penyumberan luar serta syarikat individu. Mereka difahamkan bekerja di sektor perladangan, pertaniandan dan pembinaan," katanya.

Talat dilaporkan berkata, 70,000 pekerja Bangladesh dijangka tiba, namun Syed Hamid hari ini membetulkan angka berkenaan dengan berkata berdasarkan kelulusan kerajaan hingga 31 Disember 2007, jumlah sebenar pekerja yang diberikan kelulusan untuk memasuki negara tetapi masih belum berbuat demikian hanya 55,147 orang.

Dr Subramaniam berkata, satu daripada beberapa langkah yang diumum kerajaan untuk menangani masalah pekerja yang diberhentikan syarikat tempatan yang terjejas oleh krisis ekonomi global serta untuk menangani peningkatan kadar pengangguran dikalangan rakyat, ialah membekukan pengambilan pekerja asing di sektor tertentu, khususnya sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan.

Katanya, bagi sektor lain, kelulusan akan melalui proses yang lebih ketat dan akan dipertimbangkan atas dasar keperluan majikan yang sangat mendesak, apabila tiada rakyat tempatan yang sanggup untuk mengisi jawatan yang kosong itu.

Tiada ulasan: