Pakatan Rakyat
Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan keputusan melarang peguam persendirian mewakili Speaker DUN Perak V Sivakumar seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Presidennya S Ambiga berkata keputusan mewajibkan penasihat undang-undang negeri mewakili Sivakumar, boleh mencemarkan prosiding yang membabitkan pertelingkahan antara BN dan Pakatan Rakyat.
Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian susulan permohonan peguam Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri, berhubung penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN.
Ambiga berkata, dua perkara haruslah diambil kira dalam isu ini.
Pertama, setiap peguam bertindak mengikut arahan anak guamnya dan dalam kes ini, tambah Ambiga, Sivakumar tidak pernah meminta penasihat undang-undang negeri berbuat demikian.
Kedua, penasihat undang-undang sendiri berada dalam kedudukan konflik kerana beliau mewakili Dr Zambry dalam kes menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan wakil rakyat BN itu.
“Bagaimana mungkin beliau (penasihat) atau jabatannya boleh bertindak bagi pihak Speaker yang dicabar oleh Dr Zambry?” kata Ambiga dalam satu kenyataan.
“Wajar diingatkan, keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan. Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan.”
Ambiga juga menyifatkan Speaker tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengadakan sidang tergempar DUN di luar bangunan rasminya setelah dihalang oleh polis.
Kesahan tindakan polis ini membangkitkan persoalan yang serius, tambahnya.
Apatah lagi, tegasnya, tindakan polis itu bersandarkan arahan setiausaha DUN yang hanya seorang pegawai pentadbiran yang tidak mempunyai kuasa untuk menafsir sama ada sesuatu persidangan dewan itu sah atau sebaliknya.
“Polis dengan itu telah bertindak secara tidak wajar apabila mencanggahi kehendak Speaker dan DUN. Kesilapan ini diburukkan lagi oleh keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Ambiga.
Malaysiakini
Majlis Peguam: Pilihan raya, peluang baik atasi krisis Perak
Pilihan raya tergempar cara terbaik! Majlis Peguam mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak yang berlarutan lebih sebulan termasuk beberapa insiden membabitkan soal perundangan dan kehakiman hari ini.
“Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, publik terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).
“Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.
“Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya,” kata Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini ekoran “episod drama politik” terbaru yang disaksikan di Perak sejak pagi tadi ini.
Kenyataan beliau itu menyentuh pelbagai aspek yang berlaku sejak pagi tadi di Ipoh, antaranya penganjuran sidang tergempar di luar DUN, keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak mengiktiraf peguam swasta mewakili Speaker, tindakan polis menghalang ADUN daripada memasuki pekarangan bangunan SUK - yang menempatkan DUN.
Kata beliau, perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.
Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.
Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.
“Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.
“Bagaimanapun, Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.
“Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain,” kata beliau.
Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.
Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.
“Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan,” tambah beliau.
Krisis politik Perak yang bermula 25 Januari lalu hari ini menyaksikan beberapa detik menarik dan mencemaskan serta menimbulkan pelbagai tanda - ke mana menujunya amalan demokrasi di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.