Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS - Rakyat, pemimpin masyarakat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia Bebas Dadah Tahun 2015 kata Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus.
Bagi menuju matlamat itu, semua pihak wajar bertungkus lumus mulai sekarang sama ada melaporkan kegiatan yang boleh meranapkan impian melahirkan rakyat yang cemerlang atau bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memusnahkan 'pot-pot' yang menjadi tempat golongan terbabit melakukan usaha jahaman itu.
Bukan itu sahaja malahan rakyat melalui kepimpinan masyarakat dapat juga membangkitkan kesedaran dengan menganjurkan program bersama orang ramai ke kampung-kampung atau kawasan pilihan yang mempunyai bilangan penagih yang ramai.
"Kerajaan sentiasa mahukan bilangan penagih dikurangkan atau ditiadakan langsung untuk menyelamatkan negara daripada terus kehilangan pelapis yang boleh mempertahan dan memimpin negara pada masa depan, " tegasnya ketika merasmikan majlis penutupan Program Durratun Ukhwah sempena Hari Memperingati AADK Peringkat Negeri Pulau Pinang di padang awam, Pulau Mertajam, Kepala Batas semalam.
Sesuai dengan tema hari memperingati AADK tahun ini iaitu 'Dadah Pemusnah, Musnahkan Dadah' maka tanggungjawab itu secara langsung diletakan ditangan sesiapa sahaja yang bergelar rakyat Malaysia kerana jika dadah menguasai negara memberi kesan pada politik, sosial serta ekonomi.
Bahkan, sekiranya dadah berleluasa tiada individu, keluarga ataupun masyarakat yang akan selamat memandangkan dadah mampu menguasai minda penagih, tubuh mereka manakala sendiket dadah pula boleh menjejaskan ekonomi dan pemangkin kepada kadar jenayah.
"Peranan kita pula sebagai ahli masyarakat untuk bangkit bersama AADK menentang musuh nombor satu negara amat penting. Ia menjadi tanggungjawab bersama, " katanya.
Beliau menegaskan di Kepala Batas khususnya kawasan Penaga para nelayan tidak terkecuali menjadi sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Justeru itu, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) , Persatuan Belia tidak perlu menunggu lama sehingga masalah menjadi wabak tetapi perlu bertindak untuk mengenalpasti permasalahan ini di kawasan masing-masing.
"Jalinan usahasama antara agensi kerajaan, masyarakat dan NGO perlu diperjitukan untuk menjayakan hasrat murni itu semoga Malaysia Bebas Dadah 2015 menjadi kenyataan sekaligus menyelamatkan maruah bangsa serta dapat memartabatkan kembali ekonomi dan sosio politik, " ujar beliau.
Turun hadir program bermula hari Khamis lalu ialah Pengarah AADK Pulau Pinang, Chew Kah Eng, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Mertajam, Hajjah Noraini Aziz dan Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Pulau Mertajam, Ahmad Jaafar. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan