Halaman

Selasa, 3 Mac 2009

Nik Nazmi Persoal Kenyataan Dr Khir

NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM - Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan kenyataan yang dibuat Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang beliau tidak perlu membayar cukai atas faedah syarikat yang dipengerusikannya sebelum ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan hari ini turut mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor itu seperti dipetik daripada Berita Harian bertarikh 27 Februari yang jika beliau membayar cukai kereta, ia akan menjadi bayaran berganda kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana syarikat juga yang akan membayarnya.

Nik Nazmi berkata kenyataan itu menunjukkan betapa ceteknya pemahaman Dr Khir dalam pentadbiran kerajaan negeri dan anak syarikat.

Semalam, LHDN didatangi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang sebelum ini didapati gagal memasukkan faedah bukan wang (benefits in kind) di dalam Borang EA yang dikembalikan pada tahun-tahun yang lepas.

Antara “benefits in kind” yang tidak dinyatakan dalam borang berkenaan ialah kereta Harrier dan pemandu yang telah diberikan kepada Dr Khir.

“Apakah Khir Toyo tahu makna “benefits in kind”? Jika tidak, ianya amatlah memalukan sebagai seorang bekas Menteri Besar yang telah mengetuai kerajaan negeri selama dua penggal. Ataupun beliau hanya mahu mengelak dari dipertanggungjawabkan atas kesalahan ini?,” soal Nik Nazmi.

Beliau menambah LHDN dalam pertemuan itu turut mengesahkan yang tiada pengecualian boleh diberikan tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang dalam syarikat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menjalankan proses penilaian terhadap anak-anak syarikat yang lain demi menjalankan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.