UTUSAN ONLINE
IPOH - Pakatan pembangkang akan menanam lima batang pokok yellow flame atau jemerlang di bawah pokok di kawasan berhampiran berlakunya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu sebagai kenang- kenangan.
Setiausaha DAP Perak, Ngar Kor Ming berkata, lima batang pokok itu menggambarkan lima prinsip pemerintahan kerajaan negeri pakatan pembangkang sebelum ini iaitu bersih, adil, telus, amanah dan berkebajikan.
Beliau yakin kawasan berkenaan akan menjadi tempat tarikan baru kepada pelancong kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, sidang DUN negeri itu berlangsung di bawah sebatang pokok.
''Pelancong tempatan belum lagi melawat kawasan berkenaan tetapi sudah ada pelancong asing dari Australia yang mengambil gambar di kawasan itu semalam sebagai kenang-kenangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selasa lalu, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengendalikan sidang DUN tergempar di bawah pokok, kira-kira 100 meter daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah wakil rakyat pembangkang dihalang memasuki bangunan tersebut.
Sidang berkenaan dihadiri 27 wakil rakyat pembangkang daripada DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil disaksikan kira-kira 300 penyokong mereka serta orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan