HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2009

JERIT Gesa Kerajaan Serah Kuasa Tadbir Air Pada Selangor

Biro Propaganda, JERIT


Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menggesa kerajaan persekutuan Barisan Nasional mengembalikan kuasa penuh kepada kerajaan negeri selangor untuk menguruskan sumber air di negeri berkenaan.

Barisan Nasional sebelum ini mengswastakan bekalan air negeri Selangor kepada syarikat Syabas, Abbas, Splash dan Puncak Niaga.

Apabilan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan negeri di Selangor, Kerajaan Persekutuan BN menarik balik hak kerajaan negeri untuk berunding dengan syarikat berkenaan bagi mengambil alih konsesi berkenaan dan sendiri menguruskan sumber air.

Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim berkata dengan menguruskan sumber airnya sendiri, kerajaan negeri berupaya menawarkan air pada kadar yang lebih murah di samping terus memberi air percuma 20 meter padu kepada penduduk Selangor.

JERIT berpendirian kerajaan Selangor harus diberikan sokongan penuh untuk menguruskan sumber air negeri bagi memastikan rakyat mendapat manfaat menerusi harga air yang rendah dan mutu air berkualiti.

Berikut kenyataan penuh JERIT

AIR: Hak Asasi Rakyat, Jangan Niagakannya!

Air merupakan suatu keperluan asas untuk manusia terus hidup. Apa yang kita perlukan hanyalah satu pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan perkhidmatan air bersih, jernih dan selamat kepada rakyat. Perkhidmatan ini harus diberikan secara percuma atau dengan kos yang paling minima. Persoalan membekalkan air adalah semudah ini sahaja.

Namun demikian, perkara ini menjadi rumit apabila keperluan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan mula diswastakan dan diperniagakan. Keuntungan diutamakan kebajikan dibelakangkan. Maka di sini timbullah perebutan siapa yang layak mengendalikan perkhidmatan air dengan motif keuntungan.

Perniagaan Air

Kini, konflik wujud di antara syarikat-syarikat air swasta dan kerajaan Negeri Selangor dalam isu siapakah yang dapat membekalkan air kepada rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur. Kerajaan Selangor mengatakan syarikat konsesi air Syabas, Abbas, Splash dan Puncakniaga tidak layak untuk meneruskan kontrak mereka memandangkan syarikat- syarikat ini akan terus mengutamakan keuntungan dan membebankan rakyat.

Menurut kerajaan Negeri Selangor, sejak air diswastakan pada 1996, harga air tidak pernah turun bahkan pengguna terus menanggung kenaikan harga air. Oleh itu, kerajaan Selangor kini bercadang menstrukturkan semula perkhidmatan air dengan sendiri.

Berikut adalah beberapa alasan kerajaan Negeri Selangor mengapa 4 syarikat konsesi air tidak boleh meneruskan perkhimatan mereka:

i. Melanggar Kontrak: Syabas telah memberikan lebih 70% daripada kontrak yang bernilai 600 juta kepada syarikat-syarikat yang dipilih melalui rundingan terus dan hanya 25 % sahaja melalui tender terbuka. Pihak Audit juga mendapati terdapat penyelewengan sebanyak 325 juta di dalam akaun Syabas pada tahun 2005, 2006 dan 2007. Syabas juga telah membeli paip yang diimport dari Indonesia yang berjumlah 375 juta sedangkan perjanjian mengatakan ia harus mendapatkannya dari pengeluar tempatan.

ii. Tanggungan Hutang: Syarikat konsesi yang menguruskan air di Selangor menanggung hutang yang tinggi.

Puncak Niaga - 1.36 Billion

Syabas - 2.9 Billion

SPLASH - 1.6 Billion

ABBAS - 640 Juta

iii. “Bail out”: Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Dato' Shaziman Abu Mansor telah mengakui bahawa syarikat konsesi ini perlu diselamatkan kerana mereka mempunyai hutang melebihi 6.4 billion. Menteri juga mengatakan syarikat konsesi tersebut mempunyai pinjaman daripada bon dan sebagainya dan jika mereka tidak mampu bayar pinjaman ia akan memberi kesan kepada syarikat tersebut. Jelas Kerajaan Persekutuan sedang ’bail-out’ kroni mereka daripada muflis akibat hutang berlebihan.

iv. Kenaikan tarif air: Jika Syabas terus menguruskan air di Selangor tarif akan meningkat seperti dalam kadar berikut:

i. 25% pada tahun 2012

ii. 20% pada 2015

iii. 10% pada 2019

iv. 5% pada 2021, 2024, 2027, 2030.

Penstrukturan Air oleh kerajaan Selangor

Mengikut kerajaan Negeri Selangor, ia akan meneruskan polisi air percuma 20 meter padu air dan kadar air ini akan terus menurun seperti berikut:

i. 10% pada 2009

ii. 20% pada 2011

iii. 25% pada 2013

Selepas Pilihanraya Ke-12 pengambilalihan kuasa oleh Pakatan Rakyat telah memberi manfaat kepada rakyat terutamanya di Selangor di mana Kerajaan Selangor telah memberi subsidi dan membekalkan air percuma 20 meter kubik kepada rakyatnya. Di Perak pada tahun lalu, Kerajaan Pakatan Rakyat mengumumkan akan memberikan 20 meter kubik air secara percuma kepada keluarga yang berpendapatan rendah (kurang RM700). Ini bermaksud lebih kurang 19,000 orang akan mendapat kemudahan ini.

Malangnya, di Perak PR tumbang dan di Selangor pula Kerajaan Persekutuan juga telah masuk campur. Mengikut Akta Industri Perkhimatan Air 2006, semua aset air akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kerajaan Persekutuan juga boleh melantik syarikat swasta untuk mengendalikan pengurusan air. Jadi di Selangor, Kerajaan Persekutuan mahu SYABAS terus membekalkan perkhidmatan air walaupun berlaku pelanggaran kontrak. Tindakan ini bermakna penswastaan akan berterusan dan kenaikan tarif air akan terus berlaku dan rakyat akan terus menangggung beban.

Pencelahan kerajaan persekutuan dalam perundingan kerajaan negeri Selangor dengan konsesi syarikat mengenai penstrukturan air jelas membuktikan tindakan kerajaan persekutuan untuk menghalang rakyat daripada menikmati tarrif air yang rendah.

Air milik Rakyat

Harus diingat air adalah sumber alam yang semulajadi dan semua orang mempunyai hak untuk menikmatinya. Maka tiada pihak yang boleh memperniagakan sumber alam untuk kepentingan sendiri.

Oleh itu:

i. Air harus dibekalkan secara percuma atau dengan kos paling minima.

ii. Setiap orang rakyat harus mendapat bekalan air bersih yang dikendalikan demi kepentingan awam. Bekalan air tidak boleh dipotong jika ada yang tidak mampu membayar kerana bil tinggi yang dikenakan.

iii.Kerajaan harus mengambil tanggunjawab untuk mengurusan keperluan asas ini dan bukan memberikannya kepada tangan swasta. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor nampaknya lebih prihatin berbanding Kerajaan Persekutuan.

Kembalikan sumber alam ini kepada rakyat dan sama-sama kita menyokong kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat. Jom kita bantah dan tolak kerajaan yang ingin menjaga kroni mereka sekaligus memajak kebajikan rakyat kepada syarikat swasta.

Tiada ulasan: