Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar
dan Khairul Azran Hussin
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan 338 daripada 431 permohonan bekas anggota komunis yang memohon pulang ke negara ini dalam tempoh setahun selepas perjanjian ditandatangani pada 2 Disember 1989.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata baki permohonan ditolak kerana pelbagai sebab seperti gagal mematuhi syarat perjanjian dan bermasalah daripada segi status kewarganegaraan.
Beliau juga berkata, daripada jumlah itu, ada permohonan ditarik balik atas kehendak pemohon.
Mengikut perjanjian itu, ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti memaklumkan hasrat kepada pihak berkuasa dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani, mengemukakan butir berkaitan pemohon dan menjalani proses temu duga serta dokumentasi.
Hishammuddin berkata, proses kepulangan bekas anggota komunis ke Malaysia adalah berdasarkan tawaran `one-off' mengikut perjanjian untuk menghentikan peperangan antara kerajaan Malaysia dengan PKM.
Beliau berkata, kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis pulang, sebaliknya diberi kebebasan memilih sama ada pulang atau terus menetap di Selatan Thailand.
"Dengan pilihan itu, tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran pulang, malah ramai memilih terus tinggal di selatan Thailand," katanya menjawab soalan bertulis Teresa Kok (DAP-Seputeh), di Parlimen semalam.
Hishammuddin juga berkata, kekejaman komunis menyebabkan ramai rakyat dan anggota keselamatan terkorban dan ia memberi kesan mendalam kepada rakyat.
Sehubungan itu, demi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara serta bekas anggota komunis terbabit, nama mereka yang dibenarkan pukang tidak didedahkan.
Menjawab soalan bertulis Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai Akta Hasutan 1948, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak bercadang memansuhkan akta berkenaan memandangkan ia masih relevan dengan keadaan semasa, tetapi kerajaan sentiasa menyemak dan mengemas kini akta sedia ada.
"Peruntukan akta itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan jika ada individu atau organisasi cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.