Oleh WAN SYAMSUL AMLY
PETALING JAYA - Akta berkenaan cuti sehari di dalam seminggu untuk pembantu rumah akan dibentangkan semasa sesi Parlimen, Oktober ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
Beliau berkata, beberapa prosedur melibatkan akta itu akan dilakukan untuk memastikan penguatkuasaannya jika dipersetujui kelak benar-benar memberi kesan kepada golongan berkenaan.
"Kita akan membawa isu berkenaan ke Parlimen pada Oktober ini. Buat masa ini, kita perlu menimbang dengan teliti baik buruk cadangan ini jika dikuatkuasakan kelak.
"Ini tanggungjawab kerajaan. Kita mahu semua berpuas hati dan tidak mahu ada majikan atau pembantu rumah yang merasa tertindas kerana isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden FMM, Datuk Mustafa Mansur.
Minggu lalu, S. Subramaniam mencadangkan peraturan baru yang akan mewajibkan majikan memberikan cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah pada penghujung tahun ini.
Jelasnya, peraturan baru tersebut akan dikuatkuasakan melalui kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani oleh majikan, pembantu rumah dan agensi yang bertanggungjawab membawa mereka masuk ke dalam negara.
Tambahnya, kerajaan juga akan mengambil pandangan orang ramai, majikan, pembantu rumah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
"Kita akan membuat pemantauan daripada pihak berkenaan untuk memastikan sistem baru kelak adalah lebih baik untuk pembantu rumah.
"Ia menjamin satu suasana harmoni dan kita yakin 'masalah' di antara majikan dan pembantu rumah dapat dikurangkan," ujarnya.
Selain itu katanya, akta mengenai gangguan seksual di tempat kerja dan isu pekerja kontrak juga akan dibentangkan pada sesi Parlimen itu nanti.
Dalam pada itu, S. Subramaniam menjelaskan, kadar RM4,000 untuk seorang pembantu rumah yang dikenakan kini diperoleh daripada memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Indonesia.
Jelasnya, sebarang perbezaan caj yang ditetapkan adalah disebabkan kenaikan yang dibuat oleh agensi di Indonesia sendiri.
"Kita sudah ada MoU dengan Kerajaan Indonesia mengenai kadar ini. Sebarang kadar tambahan bukan di dalam kuasa kerajaan.
"Itu melibatkan agensi sana (Indonesia). Kita sudah tetapkan jumlah dan perbezaan 'caj' adalah di luar kawalan kita," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.