SINAR HARIAN ONLINE
SERDANG – Ketua Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmad Makmom Abdullah berkata, jumlah takungan simpanan air di empangan di Selangor berada dalam keadaan kritikal sekiranya kejadian cuaca kering dan panas berterusan sehingga September ini selain sikap jimat cermat dalam penggunaan air tidak diamalkan, gangguan bekalan air pula dijangka berlaku bermula Ogos ini.
“Dulu mereka (kerajaan negeri) kata Selangor masih lagi mampu dan jika berkurangan boleh diambil dari Pahang, jika jumlah penggunaan terlalu banyak untuk diganti Ogos ia akan menjadi kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai fenomena El Nino yang dijangka September ini.
Mengulas mengenai keadaan jerebu yang melanda negeri ini, beliau menyarankan kerajaan negeri mengawal dan mengenal pasti sumber pencemaran di setiap daerahnya.
Katanya, sekiranya konsep berkenaan yang sedang dikaji pihaknya diaplikasikan di negeri ini, ia boleh mengurangkan tahap pencemaran dan kepekatan jerebu di negeri ini yang mempunyai populasi penduduk tinggi terutamanya di Lembah Klang.
“Dalam Selangor banyak daerah, sesuatu daerah mungkin lebih kepada pertanian dan sesetengahnya lebih kepada industri. Setiap daerah perlu kawal dan kenal pasti sumber (pencemaran) serta lakukan inventori lebihan (pencemaran) yang menyebabkan jirannya (daerah lain) terima.
“Jika daerah berkenaan mengeluarkan lebihan kepada jirannya, dia perlu fikir pampasan yang perlu dibayar kepada jirannya. Daerah yang menerima tidak melakukan pencemaran perlu terima faedah daripada daerah yang melakukan pencemaran seperti caj,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya bersama Ketua Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, UPM, Profesor Madya Dr Mohd Bakhri Ishak mengenai fenomena jerebu di negara ini, di sini semalam.
Menurutnya, konsep berkenaan sama digunakan oleh Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dalam menangani isu jerebu di rantau ini.
Katanya, keadaan jerebu di Malaysia akan berterusan sehingga September ini dan akan lebih teruk dengan adanya fenomena El Nino dan pertambahan titik panas di Sumatera yang sehingga kini melebihi 100 kawasan akan menjejaskan alam sekitar dan ekonomi negara.
Katanya, fenomena jerebu yang berlaku pada tahun 1997 mengakibatkan Asean menanggung kerugian RM27 bilion dan tidak mustahil akan mencatatkan jumlah kerugian yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.