Halaman

Rabu, 24 Jun 2009

Sindiket umpan wanita seksi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim


KUALA LUMPUR: Cukup licik apabila sindiket mencuri kereta mewah kini dikesan menggunakan wanita cantik dan seksi untuk memikat ahli perniagaan sebelum melarikan kenderaan yang ‘dihadiahkan’ untuk kegunaan sementara wanita terbabit.

Difahamkan, taktik terbaru itu dipraktikkan kumpulan terbabit sejak enam bulan lalu selepas menyedari risiko dikesan dan diberkas pihak berkuasa sekiranya melakukan rompakan seperti kebiasaannya.

Malah, keengganan mangsa membuat laporan polis selepas terpedaya dipercayai kerana bimbang akan menjejaskan imej dan rumah tangga mereka menyebabkan ia menjadi kelebihan kepada sindiket terbabit untuk terus bergiat aktif.

Setakat ini, lebih 10 ahli perniagaan menjadi mangsa wanita terbabit.

Bagaimanapun, taktik wanita itu dan sindiket terbabit terbongkar apabila kereta mewah yang disangkakan milik seorang ahli perniagaan yang ‘membelanya’ itu adalah kenderaan dipinjam daripada teman baiknya.

Mangsa, Ramli Che Mat, 36, berkata dia memberikan kereta Toyota Caldina miliknya kepada seorang kenalan yang juga seorang ahli perniagaan untuk kegunaan rakannya itu selain mendakwa sedang berurusan untuk menjual kereta berkenaan kepadanya.

“Saya serahkan kereta itu kepadanya pada Januari lalu. Namun, rakan saya yang berusia lewat 30-an itu memberikan kenderaan berkenaan kepada seorang wanita berusia 30-an, untuk kegunaan sementara tanpa memberitahu saya.

“Setahu saya, wanita terbabit adalah ‘kekasih’nya biarpun dia cuba untuk merahsiakan hubungan sebenar mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, Ramli hanya mengetahui kejadian itu selepas pihak bank menghubunginya disebabkan gagal melunaskan tunggakan selama dua bulan.

Ramli berkata, dia segera menghubungi rakannya itu untuk mendapatkan penjelasan sebelum ahli perniagaan terbabit mendakwa akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian itu.

Difahamkan, selepas beberapa hari, dia dan rakan baiknya itu pergi ke rumah wanita terbabit di Setapak di sini sebelum wanita itu mendakwa pihak bank sudah menarik kenderaan berkenaan.

Menurutnya, wanita itu seperti cuba menyembunyikan beberapa perkara selain cuba untuk menggodanya, namun gagal.

Selepas pulang, mangsa menghubungi pihak bank bagi mendapatkan kepastian, namun kenderaan terbabit tiada dalam jagaan mereka.

Katanya, dia cuba menghubungi semula wanita terbabit, namun gagal sebelum menerima satu kiriman SMS daripada wanita itu seolah-olah mencabarnya untuk membuat laporan polis.

“Saya dan rakan saya itu pergi semula ke rumah wanita terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun gagal untuk bertemunya. Saya yakin dia sudah melarikan diri selain usaha untuk menghubunginya gagal,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Orang ramai yang mengenali atau terserempak wanita itu diminta segera membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi talian 016-2824672.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.