UTUSAN ONLINE
JOHOR BAHRU - Kerajaan memperuntukkan RM26 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi membina pusat Rukun Tetangga, Kompleks Perpaduan selain menyelenggara dan mengubah suai bangunan JPNIN sedia ada.
''Kita menjangka antara 60 hingga 80 pusat Rukun Tetangga dengan kos setiap satu kira-kira RM300,000 dapat dibina di seluruh negara menerusi peruntukan itu.
''Bagaimanapun ini banyak bergantung kepada kelulusan tanah untuk dijadikan tapak bangunan. Justeru, kita amat berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan laman blog Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Pasir Gudang di Hotel Selesa, Pasir Gudang di sini semalam.
Azman Amin berkata, sasaran bilangan kompleks perpaduan yang akan dibina menerusi peruntukan itu belum diputuskan, namun kos pembinaannya adalah kira-kira RM3 juta bagi satu kompleks.
Katanya, Johor belum memiliki kompleks perpaduan dan JPNIN bercadang untuk membinanya di negeri ini namun menghadapi masalah ketiadaan tanah.
Menurut Azman Amin, bagi mengatasi masalah kekurangan tanah, beliau berharap pusat Rukun Tetangga dan kompleks perpaduan dapat dibina di atas tanah milik kerajaan Persekutuan yang tidak digunakan.
Sementara itu, katanya, JPNIN akan menerima tambahan kakitangan seramai 111 orang Julai ini yang terdiri daripada 95 kakitangan gred S17 dan masing-masing lapan orang bagi gred 27 dan 41.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.