Halaman

Isnin, 22 Jun 2009

Selangor Pilihan Utama Pelabur Asing di Malaysia

MURIZA ABDUL HAMID


PETALING JAYA - Kerajaan negeri yakin terus menerima pelaburan asing walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak lembap pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata Selangor masih menerima pelaburan asing dalam jumlah yang agak besar pada tahun ini walaupun terdapat ramalan yang mengatakan pelaburan asing ke rantau ini mungkin menurun secara drastik ekoran dunia dilanda krisis ekonomi global.

Menurutnya, di sebalik ramalan berkenaan, Selangor sudah berjaya menarik pelaburan asing dan juga tempatan bernilai RM1.8 bilion dalam tiga bulan pertama tahun ini.

“Untuk tahun 2009, kita hanya sasarkan separuh (RM5 bilion) daripada jumlah tahun lalu disebabkan keadaan ekonomi dunia yang agak lembap”, katanya jumlah itu dapat dicapai ekoran pelbagai langkah diambil bagi menarik keyakinan pelabur untuk terus melabur di Selangor.

Teresa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Liberalisasi dan Kelembapan Ekonomi Global dekat sini petang tadi.

Seminar setengah hari itu bertujuan untuk memberi penerangan dan penyelesaian berikutan kesan anjakan paradigma global, liberalisasi dan ketidaktentuan pasaran ekonomi yang sudah menjejaskan banyak pihak terutamanya syarikat-syarikat besar dan para pelabur asing yang bertapak di Selangor.

Selain itu, tujuan seminar ini juga adalah untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai peluang-peluang pelaburan dalam sektor perkhidmatan yang terdapat di Malaysia khususnya Selangor melalui insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Seminar anjuran Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) hari ini mengundang Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Pengerusi Institusi Kejuruteraan Malaysia, Rocky Wong untuk membentangkan kerta kerja yang bertajuk “Investment Opportunities In The Service Sectors in Malaysia dan “Services Liberalisation & Global Economics Slowdown”.

Seramai kira-kira 100 peserta menyertai seminar tersebut dan mereka ini adalah di kalangan para pelabur, usahawan-usahawan dari pelbagai industri, para penyelidik dan pegawai-pegawai dari sektor awam dan swasta.

Para peserta turut diberi ruang untuk membangkitkan isu dan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka dalam bidang berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.