TV ANTARA
Kerajaan Indonesia merancang untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia selepas seorang lagi pembantu rumah Indonesia di dera oleh majikan di Kuala Lumpur baru-baru ini, lapor agenda berita Antara.
“Kami berkemungkinan menghentikan buat sementara waktu. Tetapi kami akan menjemput menteri dan pihak berwajib untuk bermesyuarat pada 23 Jun terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” Antara memetik Menteri Sumber Manusia Erman Suparno sebagai berkata.
Antara mereka yang dijemput ke mesyuarat itu adalah Menteri Pemberdayaan Wanita, Menteri Luar Negeri, Menteri Undang-Undang, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Duta Indonesia ke Malaysia serta perwakilan Malaysia, kata Erman.
“Tetapi saya mahu penghantaran pekerja domestik Indonesia dihentikan sehingga ada maklum-balas dari kerajaan Malaysia berhubung perlindungan pekerja-pekerja Indonesia di sana,” kata Erman.
Rancangan untuk menghentikan penghantaran pekerja domestik adalah tindak balas kerajaan Indonesia kepada pelbagai kes penganiayaan terhadap pembantu rumah dan buruh Indonesia di Malaysia.
Kes terbaru membabitkan pembantu domestik Siti Hajar dari Limbangan, Garut, Jawa Barat.
Suparno berkata Jakarta-Kuala Lumpur dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat pada 15 Julai bagi membincangkan pelbagai masalah pekerja Indonesia di Malaysia.
Di mesyuarat berkenaan, perwakilan Indonesia bercadang untuk menilai semula fasal-fasal tertentu dalam Memorandum Persefahaman kerjasama sumber manusia yang dimeterai kedua-dua negara awal tahun ini.
Fasal-fasal terbabit diantara lain merujuk kepada perlindungan hak pekerja Indonesia serta penambahbaikan dari segi gaji.
“Sekiranya mereka tidak bersetuju untuk melindungi pekerja Indonesia, kita pertimbangkan untuk menghentikan semua penghantaran pekerja-pekerja domestik,” tegas Erman.
Beliau juga menambah isu ini telah dibincangkan bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Menteri Sumber Manusia Dr S. Subramaniam awal bulan ini semasa kedua-duanya menghadiri Persidangan Buruh Sedunia ke-98 di Geneva.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.