Halaman

Ahad, 7 Jun 2009

Timbalan Menteri pelik 3 ibu pejabat bomba sebelah kubur

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU - Sama ada kebetulan atau satu kesilapan, tiga ibu pejabat bomba di negeri ini masing-masing satu di sini, Tambunan dan Tuaran dibina bersebelahan dengan tanah perkuburan.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin ketika melawat salah sebuah daripada ibu pejabat berkenaan di Jalan Lintas di sini semalam.

Menurutnya, selain menimbulkan suasana yang tidak selesa, keadaan itu juga menyebabkan pembangunan sama ada untuk pembesaran pada masa depan sukar dilaksanakan.

''Saya pelik seolah-olah Sabah ini tidak ada tanah lagi untuk membina balai bomba," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Lintas di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khiruddin Drahman.

Lajim berkata, pemilihan tanah itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena ketika keputusan dibuat bagi memilih tapak berkenaan.

''Kita berharap perkara ini tidak berulang dan pada masa yang sama kita akan melihat semula kerana mungkin ada sesuatu berlaku ketika proses pemilihan tapak. Saya tidak percaya jika mereka yang terlibat mengatakan tidak nampak tanah perkuburan itu," katanya.

Menyentuh mengenai bomba sukarela, Lajim berkata, pasukan itu akan diperkasakan dengan meletakkannya terus di bawah kementerian.

''Selain tidak perlu lagi mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), ia juga membolehkan jabatan memainkan peranan lebih besar dalam soal latihan dan jika pasukan sukarela itu cemerlang mungkin mereka boleh diserap ke dalam perkhidmatan tetap," katanya.

Beliau menambah, kertas cadangan itu akan diserahkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.