Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan empat dalang utama penganjuran perhimpunan haram membantah ISA pada Sabtu lalu kerana memudaratkan keselamatan negara serta melanggar lima hak asasi warga Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.
Desakan itu disuarakan Penasihat Undang-undang Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Beliau berkata, kerajaan tidak harus memberi muka kepada Anwar dan penyokongnya dalam GMI kerana ISA memberi kuasa yang jelas kepada polis menahan mereka sebelum hari kejadian bagi melindungi kepentingan serta keselamatan orang awam.
“Perhimpunan itu disifatkan sebagai ‘keganasan terancang’ kerana keselamatan negara tergugat akibat tindakan Anwar dan pemimpin pembangkang lain menganjurkan perhimpunan itu,” katanya.
Mengenai pelanggaran hak asasi, Mohd Khairul Azam, berkata perhimpunan itu melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan diri kerana penganjur menyebabkan ramai orang awam terperangkap dalam premis perniagaan tanpa kerelaan pada hari berkenaan.
Pelanggaran lain ialah Perkara 6 (2) mengenai keabdian dan kerja paksa dilarang dengan memanipulasi anak kecil, wanita dan orang tua demi meraih simpati murahan yang turut menyalahi Akta Kanak-Kanak kerana mempergunakan kanak-kanak dan wanita untuk kepentingan peribadi politik sempit mereka.
Perkara 9 (1) pula membabitkan larangan buang negeri dan kebebasan bergerak kerana GMI menafikan kebebasan bergerak orang awam untuk membeli-belah serta bersiar-siar di ibu kota pada tarikh dan masa demonstrasi haram itu.
Penganjuran perhimpunan itu juga melanggar Perkara 10 (b) mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan apabila banyak majlis peribadi seperti kenduri, mesyuarat, perjumpaan sosial atau tempahan mengadakan majlis tertutup oleh orang awam dibatalkan.
“GMI juga melanggar Perkara 13 (1), iaitu hak terhadap harta kerana banyak harta benda awam, milik orang awam dan peniaga sekitar lokasi perhimpunan haram rosak,” katanya.
Terdahulu, beliau diiringi Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun serta Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Selangor, Zainal Hashim membuat aduan mengenai pelanggaran lima hak asasi berkenaan di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Aduan diterima Penolong Setiausaha Bahagian Aduan dan Siasatan Suhakam, Ameer Izyarif Hamzah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.