Halaman

Isnin, 31 Ogos 2009

40,000 remaja dijangka khatam al-Quran

UTUSAN ONLINE


BALING - Lebih 40,000 remaja yang menyertai program Rakan Muda Ramadan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka khatam al-Quran pada penghujung bulan puasa ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, remaja tersebut kini bersama-sama umat Islam yang lain mengikuti program Tadarus al-Quran di 1,000 buah masjid dan surau di seluruh negara.

''Kementerian telah membelanjakan RM1.5 juta bagi melaksanakan program Rakan Muda Ramadan yang sudah memasuki tahun ke-15 dengan harapan golongan remaja dapat mendekati masjid bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan lain,'' ujarnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kedah di Masjid Tok Bandar, Pulai, dekat sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Hussin.

Kira-kira 1,000 remaja dari seluruh negeri menyertai program tersebut yang turut diselitkan dengan tazkirah dan 100 anak yatim juga menerima sumbangan wang tunai.

Pada majlis itu, Razali turut menyampaikan naskah al-Quran kepada pegawai belia setiap daerah di negeri ini bagi melaksanakan program tadarus al-Quran.

Dalam pada itu, Razali turut meminta golongan remaja menjadikan pembacaan al-Quran sebagai salah satu amalan dan cara hidup secara berterusan.

Jelasnya, KBS mahu program yang dilaksanakan itu bukan sahaja mampu membawa perubahan positif kepada golongan remaja malah boleh menjauhkan diri daripada perbuatan menjolok mata di kalangan remaja Islam.

"Kita mahu membawa perubahan, apa sahaja gejala atau perbuatan menjolok mata tidak lagi dikaitkan dengan remaja Melayu Islam," tegasnya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau mengingatkan generasi muda Melayu supaya tidak mudah tertipu dan membiarkan diri mereka diperalatkaan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Katanya, ingatan itu perlu memandangkan golongan muda yang mewakili 45 peratus penduduk Malaysia sering menjadi sasaran pihak tertentu untuk dipergunakan menerusi tindakan yang merugikan diri sendiri.

Malah, katanya, pihak berkenaan turut membabitkan generasi muda dengan demonstrasi jalanan yang jelas bermotifkan politik.

"Jangan biarkan diri kita diperalat dan dipergunakan pihak tertentu yang berkepentingan sehingga akhirnya merugikan diri sendiri," ujarnya.

Beliau bimbang dengan penglibatan remaja dalam kegiatan yang didalangi pihak tertentu yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kata beliau, golongan itu sepatutnya menggunakan tubuh badan dan pemikiran yang sihat untuk membantu membangunkan negara dengan lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.