HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Ogos 2009

800 ahli PPPM pantau harga barang

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) akan menggerakkan 800 ahlinya di seluruh negara untuk memantau bekalan dan harga barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Presiden PPPM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sungguhpun ketika ini pihaknya tidak menerima sebarang rungutan berhubung perkara tersebut, pemantauan perlu dibuat untuk melindungi kepentingan pengguna.

"Kita akan menggerakkan ahli di bawah unit Biro Pemantauan Harga bagi memantau harga dan bekalan barangan keperluan pengguna. Mereka ini akan beroperasi sepanjang Ramadan dan hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengetuai kempen mengedarkan penutup hidung dan mulut serta risalah mengenai selesema babi atau influenza A (H1N1) secara percuma di Terminal Makmur di sini hari ini.

Menurut Mohd. Firdaus, pemantauan harga dan bekalan tersebut tidak hanya tertumpu pada barangan kering seperti gula, tepung, minyak masak tetapi juga melibatkan barangan basah.

Pada masa sama beliau berharap, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih kerap menjalankan pemantauan untuk melindungi kepentingan pengguna di negara ini.

"Pihak kementerian juga jangan bersikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang terbukti menyalahi undang-undang kepenggunaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Firdaus berkata, PPPM yang ketika ini mempunyai kira-kira 70,000 ahli dengan 80 cawangan bercadang membuka 70 lagi cawangan di seluruh negara bagi memantapkan peranannya.

"Sasaran kita ialah untuk mewujudkan cawangan di setiap dewan undangan negeri (DUN). Ini membolehkan setiap maklumat yang diterima daripada kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat akar umbi," katanya.

Tiada ulasan: