Oleh KARIM SULAIMAN
Saya tak pasti apa punca sebenar Adun Lunas dari KeADILan akhirnya isytihar diri sebagai wakil rakyat Bebas. Biar apa pun rasional yang cuba diberikannya saya yakin tidak ramai orang akan terpedaya dengan daleh yang sengaja dibuat-buat itu. Tentu ada sesuatu alasan, mungkin mengulangi apa yang berlaku kepada dua Adun KeADILan di Perak, yang juga Exco Kerajaan Negeri, yang kemudiannya menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang di sana.
Apa yang saya nak timbulkan di sini, mengapa hal berkenaan terjadi kepada wakil rakyat KeADILan, dan tidak kepada PAS? Mungkin ini soalan sensitif buat Anwar Ibrahim, tetapi beliau harus meneliti fenomena ini secara mendalam.
Kalau nak diikutkan, kerajaan PAS Kelantan 2004-2008 lebih meruncing dan kritikal, iaitu dibezakan hanya dengan satu kerusi sahaja, tetapi Kelantan tetap bertahan sampai habis tempoh pemerintahannya.
Mungkin kerajaan kedah tidak akan alami nasib malang seperti Perak, tetapi mengapa gejala negatif keluar parti timbul, dan ia datang dari KeADILan. Dengar kata di Selangor juga mungkin ada lagi wakil rakyat KeADILan yang akan buat perangai seumpama itu.
Mengapa nampak sangat ada wakil rakyat KeADILan yang tidak dapat didisiplinkan. Memang masing-masing ada masalah, tetapi masakan begitu mudah cara menyelesaikannya hanya dengan keluar parti. Bagi saya itu tindakan bodoh dan mengkhianati amanah rakyat dan amanah parti.
Saya harap Anwar dan pimpinan utama KeADILan akan melihat isu ini ke akar umbi. Renungkanlah apa sebabnya hal ini seperti menjadi-jadi. Umno tentu sentiasa mahu ambil kesempatan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi soalnya, mengapa kita memberi ruang untuk hal berkenaan berlaku. Fikirkanlah, tentunya ada perkara yang tidak kena dan ia wajib diperbetulkan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.