Zulkifli Sulong
BUKIT MERTAJAM : Oleh kerana Permatang Pasir secara geografinya kawasan pertanian, salah satu agenda pembangunan yang mahu dipertahankan calon PAS, Mohd Salleh Man adalah dasar tanah untuk tujuan pertanian.
Demikian kata Pengarah Pilihanraya PAS Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media hariannya hari ini.
Menurut Mahfuz, sejak tahun 2000, iaitu waktu Pulau Pinang diperintah Umno/BN, tanah pertanian di negeri ini ada sebanyak 66 ribu hektar.
Namun, pada tahun 2005, keluasan tanah pertanian negeri menyusut sehinga 45 hektar hingga 46 hektar.
"Angka ini dijangkakan akan terus menguncup sehingga 40 ribu hektar pada tahun 2010 jika polisi pembangunan tanah termasuk di N11 ini diubah dari pertanian kepada perindustrian, perniagaan dan perubahan komersial. Hak pendudukan asal juga mungkin akan terganggu," kata Mahfuz.
Selain itu, katanya, sebagai wakil tunggal dalam Kerajaan, Salleh juga akan memperjuangkan agenda kebajian rakyat Islam seperti isu tanah perkuburan untuk rakyat di Bandar Perda/Bukit Mertajam.
"Isu ini diperjuangkan sejak Umno/BN memerintah kerajaan negeri 2004. InsyaAllah, Ketua Menteri Pakatan Rakyat sudah mendengar isu ini dan insyaAllah calon kita Salleh akan terus memperjuangkannya," katanya.
Salleh juga, katanya, akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tentang aset wakaf dengan menilai semuanyaa termasuk sewa-sewa rumah kedai yang masih mengikut taksiran era 1970 lalu.
"Contohnya, sewa rumah kedai milikan PUZ dan JAIPP di sekirat kawasan perbandaran utama di Masjid Kapitan Keling umpamanya sekecil RM20 sebulan," dakwa Mahfuz.
Menurut beliau, semua ini adalah agenda yang pernah dibawa penyandang Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman, yang sekarang Salleh Man komited untuk meneruskannya demi kepentingan rakyat di bawah agenda Bersama Rakyat Mempertahankan Kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.