HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Ogos 2009

Ganti ISA dengan ALK - Sanusi Junid

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


TANJUNG MALIM - Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid meminta kerajaan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada Akta Lucut Kerakyatan (ALK) bagi menghukum pihak yang mempersoalkan kontrak sosial.

Beliau berkata, ALK sesuai digunakan ke atas mana-mana pihak yang mencabar kontrak sosial kerana golongan ini berupaya menghuru-harakan negara.

''Kalau kita biarkan golongan yang mencabar kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa Melayu serta kedaulatan agama Islam bermaharajalela, negara ini akan kucar-kacir.

''Orang Melayu dan masyarakat kaum lain perlu bertegas menegakkan kontrak sosial kerana ia acuan terbaik dalam menegakkan keharmonian negara sejak merdeka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas berucap pada majlis wacana ilmu bertajuk 'Patriotisme: Pembinaan Bangsa Malaysia' anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di universiti itu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kajian Integrasi Nasional UPSI, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan Global Aminuddin Baki UPSI, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hassan.

Sanusi yang juga bekas bekas menteri Kabinet dan Menteri Besar Kedah mengulas titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mahu semua pihak di negara ini tidak mempertikaikan kontrak sosial serta menjadikannya bahan untuk berpolitik.

Dalam pada itu, Zainal menegaskan, keterbukaan sesetengah pihak terutama pakatan pembangkang kebelakangan ini merupakan punca utama kontrak sosial dipertikaikan.

''Oleh kerana ada desakan bukan Melayu terutama DAP untuk kaji balik kontrak sosial, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan golongan Islam Pas yang baru belajar konsep 'real politic' sudi menyokong mereka.

''Hakikatnya, orang Melayu tidak sanggup mengkaji semula kedudukan istimewa kaum itu dan agama Islam di dalam perlembagaan,'' ujarnya.

Selain warga UPSI, majlis itu turut dihadiri 135 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Geo Kosmo, Kuala Kubu Baru, Selangor; 148 pelajar Universiti Teknologi Petronas, Tronoh dekat sini dan 40 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Tiada ulasan: