BERNAMA
KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan akan mencari satu mekanisme terbaik untuk mempelbagaikan aktiviti masjid di seluruh negara dalam usaha untuk menarik golongan muda mendekati institusi itu menerusi program Rakan Masjid.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata walaupun program Rakan Masjid sudah lama diwujudkan, namun ia perlu dikemaskini dan pemantauan perlu dilakukan oleh Jabatan Belia negeri untuk memastikan program yang direncanakan dapat dilaksanakan.
"Program ini adalah untuk menggalakkan belia pergi ke masjid bukan untuk solat saja tetapi juga melakukan aktiviti yang boleh mendekatkan orang muda dengan masjid seperti kuliah, gotong royong dan aktiviti sukan yang bersesuaian.
"Sudah tentu ia memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk melihat keberkesanannya dan memerlukan pemantauan yang lebih kemas dan cara bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan program ini," katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di Masjid Jamek Kemasik di sini, hari ini.
Shabery berkata, sebagai permulaan kementerian akan memilih masjid tertentu di setiap negeri untuk dijadikan sebagai perintis program berkenaan dengan melaksanakan aktiviti yang sudah dirancang selain untuk memudahkan pihaknya membuat perencanaan peruntukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.