Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS
BUTTERWORTH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menempatkan pegawainya di setiap kilang gula di negara ini bagi memastikan proses penghasilan bahan itu hingga penghantaran kepada pemborong berjalan lancar.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan membanteras kegiatan menyorok gula yang menyebabkan berlaku kekurangan bekalan dalam pasaran.
"Kita sememangnya tegas dalam menangani masalah ini. Kalau tidak dibuat begini, kita tidak akan tahu apa sebenarnya berlaku berhubung isu gula ini.
"Pegawai-pegawai kita akan memantau segala aktiviti di kilang bermula dengan melihat kuantiti yang dihasilkan dalam sehari sehinggalah memeriksa ke mana bekalan itu dihantar," jelasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang gula, Malayan Sugar Manufacturing (MSM) di sini hari ini.
Sejak bulan lalu, beberapa kawasan di seluruh negara dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan gula.
Berikutan itu, pelbagai langkah diambil bagi mengatasinya termasuk melantik tiga koperasi sebagai ejen pemborong, pengedar dan peruncit bahan berkenaan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya bersama kastam telah memperketatkan kawalan di sempadan negara dengan membuat pemeriksaan lebih fokus ke atas kenderaan kecil seperti kereta di samping individu.
"Sebelum ini, kita buat pemeriksaan ke atas kenderaan besar yang membawa muatan gula dalam kuantiti besar tetapi kali ini akan memperketatkan lagi pemeriksaan.
"Cuba bayangkan, jika sebuah kereta bawa keluar satu peket besar gula, kalau 200 buah, sudah jadi berapa peket. Itu belum lagi kalau kita periksa bot-bot nelayan di perairan. Kita perlu tegas kali ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik kerana bekalan gula telah pun pulih seperti sedia kala.
Katanya, setiap bulan rakyat di negara ini dibekalkan kira-kira 100,000 tan gula manakala bersempena bulan Ramadan ditambah lagi sebanyak 20,000 tan.
"Dengan jumlah pengeluaran gula sebanyak ini, saya tidak nampak sebarang sebab untuk rakyat panik, beli macam biasa sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.