BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penjaja dan peniaga termasuk pemilik gedung beli-belah sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman akan mendapatkan khidmat guaman disediakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan sebelum memutuskan untuk menyaman GMI.
Persatuan berkenaan ialah Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPBWP), Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (PPPLTAR) dan Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPPBWP).
Setakat ini, tiga persatuan penjaja dan peniaga terbabit merancang untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta manakala Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) sebanyak RM300,000.
Mereka juga akan membuat laporan polis berhubung kerugian dan kerosakan barang dan harta benda yang dialami di Balai Polis Dang Wangi, kira-kira jam 11 pagi ini.
Presiden PPBWP, Rosli Sulaiman, berkata pihaknya menerima maklum balas daripada 143 ahlinya untuk membuat tuntutan membabitkan kerugian perniagaan pada hari berkenaan, kerosakan barangan dan harta benda, trauma dan teladan supaya perkara itu tidak berulang pada masa depan.
Beliau berkata, semua ahlinya tidak dapat berniaga pada hari itu, malah barang jualan mereka rosak selepas disembur air dan gas pemedih mata pihak berkuasa bagi menyuraikan keadaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata, bukan saja peniaga, malah mereka yang gagal dalam temu janji perniagaan, menziarahi keluarga yang nazak di hospital atau terlepas penerbangan, boleh mengemukakan saman terhadap penganjur perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bercakap ketika menghubungi Berita Harian, di sini semalam, beliau berkata, kesusahan yang dialami pihak terbabit perlu ditanggung pihak penganjur perhimpunan itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah meminta peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kerugian kerana perhimpunan haram itu mengemukakan laporan kerugian ke Biro Pengaduan Awam (BPA) selewat-lewatnya Jumaat depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan