UTUSAN ONLINE
Hishammuddin Tun Hussein bersalaman dengan sebahagian ahli UMNO pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 2 Ogos - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka yang bertindak sebagai penganjur dan mencetuskan kekecohan di ibu negara semalam akan didakwa di mahkamah esok.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menjadi dalang dan mencetuskan kekecohan pada perhimpunan membantah pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.
Menurutnya, Peguam Negara dan pihak polis diingatkan hanya mendakwa individu yang benar-benar terlibat mencetuskan kekecohan tersebut mengikut peruntukan undang- undang sedia ada.
''Tindakan ini tidak dikecualikan kepada pelajar dan remaja bawah umur, kita mahu buktikan bahawa kita tidak main-main dengan amaran yang dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas penahanan 589 individu yang menyertai perhimpunan haram membantah ISA anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI).
Selain itu kata beliau, tidak semua daripada 589 individu yang ditahan semalam akan didakwa kerana ada kalangan mereka tidak melakukan kesalahan serius.
''Bagaimanapun, mereka yang dibebaskan hari ini juga tidak semestinya tidak akan didakwa.
''Tindakan undang-undang ini juga termasuk individu yang terbabit dalam perhimpunan menyokong ISA, kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini, mana-mana individu yang dikenal pasti terbabit tetap akan didakwa," katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, kementerianya lega kerana tiada kematian atau kecederaan parah berlaku semasa perhimpunan tersebut.
Beliau yakin perhimpunan tersebut dianjurkan atas agenda politik dan bukan mengenai ISA berdasarkan laungan slogan individu yang menyertai perhimpunan tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai penahanan pemimpin parti politik pada perhimpunan itu, kata beliau, kementerian difahamkan setakat ini hanya seorang ahli politik ditahan.
Katanya, ahli politik dari Selangor itu dikatakan memberi ceramah dan sidang akhbar pada perhimpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.