BERNAMA
ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mahu satu pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Kota Siputeh yang dianggapnya kosong kerana mendakwa penyandangnya melanggar Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional, yang menjadi wakil rakyat Kota Siputeh selama penggal keempat berutut-turut, didapati tidak menghadiri dua kali berturut-turut persidangan DUN pada 9 April dan 9 Ogos lepas tanpa kebenaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya Artikel 51 menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri tidak hadir dengan kebenaran Speaker dua kali mesyuarat berturut-turut, maka tempatnya hendaklah menjadi kosong.
"Dalam keadaan ini, YB Kota Siputeh telah dengan jelas melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan pilihan raya kecil hendaklah diadakan," kata Abdul Isa.
Isu itu timbul selepas Abdul Isa menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Kota Siputeh pada 17 Ogos lalu.
Abdul Isa berkata, walaupun Abu Hassan datang menemuinya pada 16 Ogos untuk meminta maaf dan menerangkan sebab beliau tidak dapat hadir serta menyerahkan sendiri surat asal, ia tidak penting lagi.
"Saya ingin maklumkan YB Kota Siputeh tidak hadir dua kali sidang DUN tanpa kebenaran Speaker. Pertama pada 19 April 2009 iaitu mesyuarat kelima penggal kelima tanpa memberitahu Speaker langsung, dan kali kedua, mesyuarat pertama penggal kedua pada 9 Ogos lalu.
"Ekoran itu pada 17 Ogos, saya menulis surat melaporkan perkara ini kepada SPR Kedah yang kemudiannya memanjangkannya kepada Pengerusi SPR di Putrajaya," katanya.
Mengenai dakwaan Abu Hassan bahawa beliau tidak sihat dan dinasihatkan bercuti selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 Ogos, Abdul Isa berkata beliau hairan mengapa surat beserta sijil cuti sakit itu hanya difaks kepadanya pada 12 Ogos.
"Sidang Dewan berlangsung pada 9 Ogos. Dia boleh hubungi saya atau pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan tetapi dia hanya hantar SMS kepada ketua pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
"Kalau betul, mengapa dia tidak SMS kepada saya selaku Speaker. Sebelum Dewan bersidang saya umumkan ketidakhadiran Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob, dengan kebenaran kerana telah menulis surat lebih awal.
Abu Hassan sebelum ini menjelaskan bahawa beliau tidak hadir pada persidangan 9 Ogos lalu kerana sakit dan mempunyai sijil cuti sakit sebagai bukti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.