UTUSAN ONLINE
PEKAN - Suruhanjaya Diraja bagi Mengkaji Peraturan Soal Siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan bermula selepas proses inkues kematian Teoh Beng Hock selesai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inkues berhubung kematian Beng Hock masih berjalan dan semua pihak perlu menunggu hasilnya terlebih dahulu.
"Kita kena melalui inkues terlebih dahulu kerana ia akan mengenal pasti punca kematian. Selepas itu Suruhanjaya Diraja akan melihat kepada prosedur yang diamalkan SPRM dan mengambil kira apa-apa penemuan inkues dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Projek Agropolitan Pekan di Kampung Runchang dekat sini hari ini.
Najib ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai Suruhanjaya Diraja itu selepas beliau mengumumkan penubuhannya pada 22 Julai lalu.
Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengkaji peraturan soal siasat yang diguna pakai SPRM ketika melakukan soal siasat berhubung kematian Beng Hock.
Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.
Siasatan itu berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Mengulas lanjut, Najib meminta semua pihak bersabar dan mematuhi prosedur siasatan tersebut.
''Jadi, aturannya kena betul iaitu kita kena inkues dulu," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan