Editor Buletin
KUALA TERENGGANU – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Wan Rahim Wan Hamzah meminta masyarakat negeri ini sedar perjuangan UMNO sebenarnya dikhianati orang UMNO sendiri.
Menurutnya, pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam parti itu turut mengubah wajah UMNO sehingga tidak lagi menjadi wadah yang tepat untuk memperjuangkan bangsa Melayu di negara ini.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sedar hakikat sebenar dan menerima kritikan pembangkang tanpa melatah.
“Saya melihat Menteri Besar tidak melihat senario sejarah yang berlaku, macam mana UMNO lakukan sepanjang 50 tahun, contohnya PPSMI yang memperlihatkan bagaimana keputusan anak Melayu merosot.
“UMNO adalah sebagai satu wadah, begitu juga parti politik lain tetapi UMNO sendiri telah dikhianati orang UMNO sendiri, bukan orang lain,” katanya ketika dihubungi
Wan Rahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad bahawa sesiapa yang cuba mengaibkan UMNO dalam persada politik negara pasti akan mendapat balasan setimpal.
Menurut Wan Rahim, kenyataan Ahmad mengenai perkara itu berunsur emosi, selain tidak berfakta untuk menjelaskan apa yang dilakukan parti berkenaan.
“Kenyataan itu seolah-olah UMNO tidak mampu diselamatkan sehingga terpaksa menakutkan pengundi di negeri ini. Pembangkang bukanlah parti yang tidak mementingkan bangsa Melayu tetapi cuba menghormati hak bangsa lain,” katanya sebagaimana di petik Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan