Halaman

Rabu, 19 Ogos 2009

UMNO Selangor mohon injunksi

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


SHAH ALAM - UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti umat Islam di Seksyen 23 di sini.

Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana bantahan penduduk terhadap keputusan itu adalah wajar serta mempunyai asas-asas kukuh selain bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, dalam Artikel 11 perlembagaan walaupun kebebasan beragama itu dinyatakan dengan jelas, bagaimanapun ia perlu dilaksanakan dalam suasana harmoni dan aman tanpa melibatkan pencabulan serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

''Kita percaya apabila membina sesebuah rumah ibadat, kerajaan negeri perlu melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang tinggal sesuatu kawasan itu. Dalam kes Seksyen 23 ini, penduduk Islam mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk maka sensitiviti mereka perlu diambil kira.

''Jadi, kita akan bantu penduduk dan membawa bantahan mereka ke mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri untuk membina kuil di kawasan ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini hari ini.

Noh berkata, tindakan menerusi saluran undang-undang itu lebih sesuai kerana didapati memorandum bantahan oleh Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, terhadap keputusan kerajaan negeri itu boleh menimbulkan suasana tidak harmoni serta tidak menepati dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau juga akan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan pandangan serta merangka persediaan yang perlu sebelum memulakan tindakan sedemikian berdasarkan bantahan yang dibuat kira-kira 500 orang penduduk Islam di kawasan itu.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut mempersoalkan dasar kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang semasa pilihan raya lalu berjanji untuk membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, janji itu seolah-olah hanya permainan politik untuk meraih undi memandangkan kerajaan negeri hari ini secara mentah-mentah menolak bantahan penduduk dan tetap mahu meneruskan pembinaan kuil berkenaan.

''Penduduk mengemukakan masalah mereka kepada kerajaan negeri tetapi tidak dilayan. Mereka tidak ada tempat untuk mengadu masalah yang dihadapi.

''Inilah sikap kerajaan negeri yang bongkak, tidak memikirkan soal rakyat apabila telah berkuasa. Jadi kita akan serahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.