HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Ajaran 'Rasul Melayu' belum berkubur

Oleh AZIAN AZIZ


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) percaya ajaran sesat 'Rasul Melayu' masih belum berkubur walaupun pemimpinnya, Abdul Kahar Ahmad, 59, telah diberkas baru-baru ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohamad Hidayat Abdul Rani berkata, Abdul Kahar mempunyai lebih 20 pengikut termasuk seorang anak lelakinya, Zulhilmi yang dipercayai menjadi penyebar utama ajaran sesat itu.

Menurut beliau, Zulhilmi dipercayai bertindak sebagai 'orang kanan' kepada Abdul Kahar dalam kegiatan menyebarkan ajaran yang difatwakan sesat pada 1991 itu dan sering kelihatan mendampingi Abdul Kahar ke mana-mana.

''JAIS sedang berusaha keras untuk memastikan ajaran sesat ini berkubur dengan menahan Zulhilmi pula dalam tempoh terdekat ini atas pertuduhan bersubahat dengan bapanya mengikut kesalahan di bawah enakmen yang bersesuaian.

''Kami mempunyai beberapa bukti kukuh termasuk sebuah laman blog milik Zulhilmi yang dipercayai digunakan dalam menyebar ajaran sesat pimpinan bapanya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada 16 September lalu, Abdul Kahar ditahan penguat kuasa JAIS ketika sedang sarapan sambil menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Kajang dekat sini pada pukul 9.45 pagi.

Abdul Kahar ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tahanan kepadanya sehingga tarikh perbicaraan pada 7 Oktober ini.

Dia turut didakwa atas kesalahan mempersendakan agama Islam.

Dalam pada itu, Mohamad Hidayat menjelaskan, pihaknya sukar mengesan para pengikut 'Rasul Melayu' kerana tidak mengetahui lokasi sebenar pertemuan mereka diadakan.

''Pihak kami akan sentiasa memantau pergerakan mereka. Namun pada masa sama, kami amat berharap supaya pengikut ajaran sesat itu segera bertaubat dan JAIS sedia membimbing serta membetulkan akidah mereka pada bila-bila masa," katanya.

Kata beliau lagi, setakat ini JAIS mendapati masih terdapat enam atau tujuh ajaran sesat yang aktif di negeri itu antaranya ajaran Qadiani, Rufaqa dan Tarikat Islam Jemaah 11 yang dipercayai berasal dari Indonesia.

Katanya, selain kumpulan ajaran sesat tersebut, pihaknya juga sedang mengesan satu lagi kumpulan tarikat yang berpusat di satu kawasan yang dirahsiakan maklumatnya.

Tiada ulasan: