Halaman

Jumaat, 4 September 2009

Masa berbuka, bersahur pilihan utama penyeludup

BERNAMA


Pasukan Gerakan Polis Marin (GPM) yang berpangkalan di Tumpat mendapati penyeludup mengambil kesempatan menggunakan waktu
berbuka dan bersahur sebagai waktu puncak mereka melakukan kegiatan itu sepanjang Ramadan ini.

Penolong Komandernya ASP Wan Ismail Wan Mamat berkata taktik itu dikesan oleh anggotanya yang sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di sekitar muara Sungai Golok yang bersempadan Kelantan-Thailand pada waktu berkenaan.

Menurutnya, hasil pemantauan itu pihaknya berjaya mengesan 31 kes penyeludupan menggunakan laluan laut dalam tempoh dua minggu umat Islam menunaikan ibadah berpuasa membabitkan rampasan barangan seludup bernilai RM36,000.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas itu termasuklah beras, gula, minyak masak, bunga api dan mercun serta kenderaan.

"Walaupun kes penyeludupan yang dikesan unit ini kecil berbanding tempoh yang sama pada minggu sebelum puasa, namun nilai barangan rampasan lebih tinggi," katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di Pangkalan Polis Marin di Tumpat malam tadi.

Menurutnya, daripada 31 kes yang dikesan, sebanyak tiga kes di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Kastam (19) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (4) dan satu kes Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Taktik menggunakan laluan laut pada waktu puncak ketika umat Islam berbuka dan bersahur ini dapat dikesan sejak awal Ramadan lepas.

"Ini menyebabkan kami meningkatkan rondaan pada waktu itu yang memaksa anggota berbuka dan bersahur di atas bot ronda di sepanjang muara Sungai Golok yang bersempadan dengan pekan Takbai, di sebelah Thailand," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.