SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mahu memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kekal milik BN apabila pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu kelak.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, UMNO Selangor akan menghulurkan bantuan seperti biasa kepada jentera pilihan raya di sana.
Menurutnya, UMNO Selangor tidak pernah ketinggalan membantu jentera pilihan raya setiap kali pilihan raya diadakan.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang, tambahan pula, DUN Bagan Pinang adalah jiran yang hampir dengan kita.
“Keyakinan untuk menang juga tinggi kerana ini adalah kerusi kita dan kita akan bertanding atas kerusi sendiri, berbanding sebelum ini kita bertanding untuk merebut kerusi orang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan menunggu arahan daripada pucuk pimpinan sebelum turun padang untuk berkempen.
“Insya-Allah, saya yakin BN boleh menang dalam pilihan raya kali ini, dan kita akan memastikan BN mendapat kemenangan,” katanya.
Menurutnya, rakyat kini boleh menilai dan menentukan kerajaan seperti mana yang mereka inginkan.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali berkata, pihaknya sedang menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat dan menetapkan tarikh pilihan raya.
“Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO turut menyediakan jentera bagi membantu parti pada bila-bila masa.
“Dari segi pemilihan calon, keputusannya diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kita akan akur dengan keputusan yang dibuat,” katanya.
Suhaimi berkata, harapan untuk menang di DUN Bagan Pinang adalah baik, tambahan pula, khidmat yang diberikan oleh pemimpin kawasan itu sebelum ini berjaya memuaskan hati rakyat.
“Dari segi rekod, kawasan itu adalah tugu kuat BN dan saya percaya, sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dan bantuan, harapan untuk mengekalkan kerusi adalah cerah.
“Siapa juga calon yang akan bertanding di sana, kami akan tetap memberikan sokongan penuh,” katanya.
Kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang berlaku ekoran kematian penyandangnya Azman Mohd Noor, kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.