HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2009

Buang mayat dalam perigi

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin & Dean Dinesh


JOHOR BAHRU: Soal siasat ke atas seorang pemuda disyaki membunuh ibunya di Kampung MIC, Ulu Tiram pada 6 Oktober lalu, membongkar rahsia mengejutkan apabila suspek membawa polis ke sebuah perigi lama bertutup simen konkrit di rumahnya yang menyimpan rangka seorang wanita, petang semalam.

Penemuan menggemparkan penduduk kampung berkenaan dibuat selepas polis membawa lelaki berusia 22 tahun itu kembali ke rumahnya jam 4.45 petang untuk menunjukkan perigi lama itu.

Difahamkan, polis mendapat petunjuk selepas suspek mengaku turut terbabit pembunuhan lain membabitkan seorang wanita dengan mayatnya disembunyikan dalam perigi bersebelahan rumahnya yang tidak digunakan sejak beberapa tahun lalu.

Polis mendapatkan khidmat sebuah jengkaut untuk memecahkan permukaan konkrit yang menutupi perigi lama berkenaan sebelum menemui rangka manusia di dalamnya.

Rangka wanita yang belum diketahui identitinya itu berada dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat di belakang menggunakan wayar dan terdapat cebisan pakaian serta sepasang anting-anting.

Berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal rangka itu, mangsa dipercayai dibunuh dan disembunyikan dalam perigi itu lebih enam bulan lalu.

Dalam pada itu, polis turut menemui enam not RM50 dipercayai milik ibu suspek di celah dinding batu bata rumah berkenaan selepas ditunjukkan suspek.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Suspek ditahan 18 Oktober lalu, kira-kira seminggu selepas menghilangkan diri sebaik mayat ibunya, Malila Kathidra, 47, ditemui dalam sebuah beg pakaian di bawah sinki rumahnya.

Bagaimanapun, suspek meloloskan diri dari jagaan polis di Hospital Permai, Tampoi, Sabtu lalu bersama seorang lagi suspek kes bunuh berusia 28 tahun sebelum dicekup semula kira-kira lapan jam kemudian.

Dia berkomplot dan melarikan diri dengan lelaki yang dituduh di mahkamah bersabit dua kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hospital sama, jam 6.20 pagi.

Ketika itu, suspek berada di bawah jagaan hospital jiwa berkenaan selepas mahkamah mengeluarkan perintah suspek menjalani rawatan dari 19 hingga 23 Oktober lalu.

Tiada ulasan: