BERNAMA
KUALA LUMPUR - Kerajaan disarankan supaya mewartakan cuti awam Hari Malaysia pada 16 September mulai tahun depan dengan memasukkannya ke dalam Akta Kerja 1955.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, sekiranya tidak dimasukkan dalam Akta Kerja 1955, dikhuatiri ada majikan atau syarikat yang tidak akan mengiktiraf cuti berkenaan.
“Kalau itulah saranan yang dibuat oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri agar cuti 16 September ini sebagai cuti awam, saya cadangkan ia dimasukkan dalam Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 60(d).
“Kalau tidak, ia hanya bermain sebagai retorik politik dan hidangan lazat yang tidak boleh dimakan oleh rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, semalam.
Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah mahkamah khas yang dikendalikan oleh pakar-pakar dalam bidang buruh bagi menangani hal-hal berkaitan buruh.
“Dalam banyak kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, pengendali mahkamah iaitu hakim tidak mahir dalam bidang buruh.
“Bila mana berlaku rujukan Mahkamah Industri kepada Mahkamah Tinggi, maka pada masa inilah timbulnya kepelbagaian hukuman yang dibuat dan tidak mengikut tatacara dalam bentuk hak pekerja itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun mulai tahun depan, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, perkara yang perlu ditekankan ialah pengisian sambutan hari tersebut.
“Saya tidak mempertikaikan pengumuman Perdana Menteri dan saya tidak ada masalah untuk sambut Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan. Tapi yang penting ialah bagaimana kita mengisi erti kemerdekaan dan Hari Malaysia itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.