Halaman

Jumaat, 6 November 2009

DAN membebankan rakyat berpendapatan rendah

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewajibkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap lima tahun sekali.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pemeriksaan setiap tahun yang akan dilaksanakan di bawah Dasar Automotif Negara (DAN) mulai tahun depan bakal menyusahkan rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, syarat baru DAN itu menyebabkan rakyat beranggapan kerajaan memaksa mereka menukar kereta berusia 15 tahun kepada yang baru sekali gus menguntungkan penjual kereta.

''Mungkin di beberapa negara maju syarat ini boleh dilaksanakan. Namun, dalam konteks di Malaysia, ada rakyat yang berhutang sehingga sembilan tahun untuk membeli sebuah kereta.

''Apakah rakyat perlu dibebankan dengan satu lagi hutang kereta enam tahun selepasnya,'' kata Mohamad Khir yang dipetik menerusi laman blognya, www.drkhir.com.

Katanya, kerajaan juga perlu memikirkan bahawa kebanyakan pemilik kenderaan berusia 15 tahun adalah penduduk luar bandar, berpendapatan rendah dan kediaman mereka jauh dari Puspakom.

Malah, untuk memenuhi syarat pemeriksaan kenderaan setiap tahun, mereka terpaksa mengeluarkan bayaran di antara RM40 hingga RM60 dan ia jelas merupakan satu kos tambahan yang perlu ditanggung mereka.

''Kos ini merupakan satu bebanan kepada mereka. Malah, ramai juga yang tertanya-tanya adakah syarat baru yang bakal dilaksanakan ini adalah cara kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu membalas sokongan kuat pengundi luar bandar dalam pilihan raya lalu?

''Mereka juga mempersoalkan adakah pemeriksaan Puspakom benar-benar menjamin tahap keselamatan kenderaan atau hanya sekadar satu cara agensi itu membuat wang?'' jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan tetap mahu melaksanakan syarat tersebut, kadar bayaran untuk pemeriksaan perlu dikurangkan kepada antara RM5 hingga RM10 sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.