UTUSAN ONLINE
SHAH ALAM - Kerajaan negeri hari ini menyerahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan pandangan berhubung tindakan penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Isnin lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dalam Mesyuarat Exco pada pagi ini.
Beliau berkata, pertemuan yang belum ditentukan tarikhnya itu dilihat penting kerana hal ehwal pentadbiran agama Islam negeri adalah terletak terus di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.
Malah kata beliau, antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan dengan Sultan Selangor itu adalah mengenai cara pelaksanaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 mengenai tauliah penceramah yang tertakluk di bawah Seksyen 119(1) termasuklah kesannya ke atas tindakan yang dibuat (penguatkuasaan).
"Kita (kerajaan negeri dan JAIS) bersetuju jumpa Tuanku mengenai perkara-perkara yang kita bangkitkan itu untuk mendapatkan persetujuan baginda.
"Bagaimanapun kita percaya JAIS ada hak untuk berbuat demikian (tahan Mohd. Asri) kerana ada enakmen melibatkan soal tauliah penceramah dan dakwah di Selangor," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan