UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan dakwaan bahawa beliau memalsukan kelulusannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) sebagai tindakan yang hina dan jijik.
Tegasnya, jika kelulusannya itu palsu mustahil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) membenarkannya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
''Tindakan menuduh saya memalsukan kelulusan amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang.
''Masakan UIAM, USM membenarkan saya menyambung PhD dan (menjadi) pensyarah jika kelulusan saya palsu,'' katanya dalam emel ringkasnya yang dihantar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Asri didakwa memalsukan kelulusannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Mohd. Asri melibatkan Bahasa Arab dan Sastera.
Mengulas lanjut Mohd. Asri berkata, adalah terlalu lekeh untuk beliau menjawab tuduhan seperti itu.
''Saya sendiri rasa amat lekeh untuk menjawab tuduhan seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini.
''Persoalannya adakah Jakim di belakang konspirasi ini? Jika Jakim terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari kerajaan Pusat terlibat? Jakim jangan burukkan nama kerajaan Pusat,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.